PUTRAJAYA: Saman RM13.5 bilion Puncak Niaga Holdings Bhd terhadap bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri akhirnya akan didengar di mahkamah empat tahun selepas difailkan.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Khalid dan kerajaan Selangor untuk diberi izin merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, empat bulan lalu.
Pada 11 Februari, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Puncak Niaga untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Khalid dan kerajaan negeri membatalkan saman berkenaan.
Hari ini, hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat berkata, permohonan pembatalan saman itu adalah satu permohonan interlokutori dan perbicaraan penuh tidak pernah diadakan, seterusnya tiada keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi sama ada saman itu dibatasi peraturan had waktu.
Khalid dan kerajaan negeri diperintahkan membayar kos RM30,000 kepada Puncak Niaga.
Edmund Bon yang mewakili Khalid sebelumnya berhujah bahawa saman itu dibatasi had waktu kerana anak guamnya tidak memegang jawatan itu selepas 23 September 2014 sedangkan saman itu difailkan pada 27 Oktober 2017.
Di bawah Akta Perlindungan Penguasa Awam 1948 (PAPA), tuntutan terhadap kerajaan perlu difailkan dalam tempoh tiga tahun.
Peguam Gopal Sreenevasan yang mewakili Puncak Niaga mengakui bahawa Khalid mengosongkan jawatan itu pada 2013 tetapi berkata, perjanjian jual beli diselesaikan pada 10 Oktober 2015.
Susulan itu katanya, had tiga tahun itu berkuat kuasa pada Oktober 2018.
Dalam pada itu Puncak Niaga mendakwa Khalid dan penggantinya Azmin Ali menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk menyebabkan kerajaan pusat menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 untuk memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.
Syarikat itu menuntut ganti rugi, faedah dan kos atas kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara berjumlah RM13.5 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan