Jumaat, 18 Jun 2021

SOP ibadah korban lewat, penternak di Melaka tertekan

Oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

AZIZI Mustafa runsing memikirkan nasib haiwan ternakan yang dibelinya untuk Hari Raya Aidiladha apabila tiada kata putus daripada pihak berwajib tentang pelaksanaan ibadah itu di Melaka. – UTUSAN/HADI AB. MANAP

MELAKA: Tiada kata putus pihak berwajib di negeri ini berhubung pelaksanaan ibadah korban menggusarkan ramai pengusaha ternakan ruminan.

Situasi itu jelas berbeza de­ngan tahun lalu apabila kebenaran dimaklumkan lebih awal, sekali gus memberi kesempatan kepada penternak menerima tempahan lebih banyak.

Seorang penternak, Azizi Mustafa, 36, berkata, dia hanya menerima lima tempahan bagi tujuan korban tahun ini berbanding 30 tempahan pada tahun lepas yang mengakibatkan pendapatannya merosot hampir RM125,000.

Menurutnya, dia runsing memikirkan nasib ternakan yang sudah dibeli lebih awal dan dijaga rapi termasuk soal kesihatan.

“Saya perlu pulangkan deposit kira-kira RM5,000 untuk seekor lembu selain terpaksa menanggung kos penjagaan yang tinggi selepas itu. Kalau hendak jual selepas Hari Raya Aidiladha, harga akan jadi lebih mahal dan siapa yang sanggup beli?

“Nak jual pun kena letak harga munasabah, walaupun kena tanggung rugi. Kalau haiwan ternakan mati, terpaksalah kami berputih mata,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Azizi, ramai penternak berharap ibadah korban dibenarkan seperti di Johor dan bersedia mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri melalui agensi terlibat diharap dapat memberi kata putus secepat mungkin supaya kami lebih bersedia. Jika dibenar dan perlu dibuat di rumah sembelih yang berdaftar pun sudah memadai daripada menanggung kerugian.

“Keluarkan SOP yang ketat tentang jumlah kehadiran wa­kil pelanggan, kebenaran khas untuk rentas daerah sekiranya perlu, tempat sembelihan dan lain-lain,” katanya yang telah 15 tahun terlibat dalam bidang penternakan.

Mengenai impak Covid-19, Azizi berkata, penternak se­pertinya bukan sahaja terkesan semasa musim perayaan, tetapi setiap kali SOP berubah.

Jelasnya, larangan penganjuran majlis keraian seperti perkahwinan dan akikah, penutupan restoran serta sekatan pergerakan penuh menyebabkan permintaan ternakan merosot.

“Ini menyebabkan saya sukar menjana pendapatan untuk menampung kos operasi. Saya terpaksa menjual kambing dan ayam untuk membeli dedak dengan kos hampir RM2,500 seminggu,” katanya. UTUSAN.

Tiada ulasan: