Ahad, 2 Mei 2021

Usah perbesar isu gurauan rogol

 Oleh ROSALINDA MD SAID

SYED ANUAR SYED MOHAMAD

KUALA TERENGGANU: Semua pihak diminta menghentikan sebarang andaian berhubung jenaka rogol membabitkan seorang guru lelaki dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk melakukan siasatan serta mengambil tindakan.

Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tindakan masyarakat memperbesar isu berkenaan bakal merosakkan imej dan profesionalisme golongan pendidik secara keseluruhannya terutama menjelang sambutan Hari Guru pada 15 Mei ini.

“Jangan kerana isu begini kita mengguris hati cikgu seolah-olah semuanya begitu sedangkan golongan ini sudah banyak berkorban untuk anak-anak kita sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Yang salah kita tidak selindung tetapi biarlah pihak berwajib melakukan siasatan, jangan berterusan membuat andaian yang boleh mengeruhkan lagi keadaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Baru-baru ini, seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun mendedahkan jenaka keterlaluan guru lelaki ketika kelas pendidikan jasmani yang seolah-olah menggalakkan jenayah rogol.

Dakwa pelajar itu, sesi pembelajaran yang berjalan lancar bertukar sebaliknya apabila guru terbabit mula membuat jenaka lucah berkaitan rogol dan video dimuatnaik di aplikasi TikTok serta Twitter itu mengundang perdebatan warga maya yang rata-rata mengecam tindakan guru berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Syed Anuar meminta ibu bapa dan pelajar agar tidak cepat melatah dengan menggunakan saluran media untuk menyelesaikan isu membabitkan salah laku guru, sebaliknya merujuk kepada pihak sekolah terutama guru besar atau pengetua di samping pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan.

“Setiap sekolah mempunyai jawatan kuasa tatatertib dan terdapat prosedur operasi standard (SOP) untuk mengambil tindakan, bagi saya saluran ini lebih molek agar kita tidak menjatuhkan imej guru.

“Di samping itu, saya menasihatkan golongan pendidik agar berhati-hati dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar supaya tidak bertentangan dengan garis panduan ditetapkan kementerian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: