KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas,
Ustazah Asma’ Harun tampil menjelaskan kenyataan awal beliau bahawa
mereka yang tidak menghadiri solat Jumaat tiga kali berturut-turut
disebabkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemerintah bagi
mengelak penularan wabak Covid-19 wajib bertaubat dengan menunaikan
solat sunat taubat.
Dalam penjelasannya, Asma’ berkata, uUmat Islam yang
gagal menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi prosedur operasi standard
(SOP) dalam mencegah penularan pandemik Covid-19 tidak dikira berdosa
kerana ia termasuk dalam keuzuran dibenarkan syarak.
Kenyataan itu dibuat selepas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, umat Islam yang gagal menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi SOP dalam mencegah penularan pandemik tidak dikira berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran dibenarkan syarak.
Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia sama seperti tidak menunaikan solat Jumaat bagi mereka yang bermusafir dan seumpamanya.
Berikut adalah penjelasan Asma di laman Facebook miliknya.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi
penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak samada ilmuan atau orang
awam yang menegur, menasihati, membantu menjelaskan semula secara baik,
melihat sisi positif dan memahami dengan jernih terhadap apa yang cuba
saya sampaikan.
Tidak lupa juga setinggi terima kasih buat yang
mengkritik, menghina, mencerca serta memanipulasi agak jauh mengenai isi
kandungan sedutan pendek daripada satu perkongsian saya yang berdurasi 1
jam 38 minit tersebut (Kami tidak tahu siapa yang memotong dan
menyebarkan video tersebut, kerana ia tanpa kebenaran dan makluman).
Secara jujurnya, saya sendiri dapat mengambil pengajaran
yang banyak daripada apa yang berlaku, mudah-mudahan kalian juga
begitu. Saya berlapang dada menerima segalanya kerana sedar hakikat diri
yang bersalah dan berdosa.
Sejak daripada awal musibah COVID-19 sehingga ke hari
ini, samada dalam bentuk penulisan atau perkataan, saya tidak pernah
menzahirkan penentangan terhadap SOP yang telah ditetapkan oleh pihak
berwajib. Sebarang manipulasi yang menimbulkan andaian seumpama itu,
maka saya nafikan.
Saya juga bersetuju dan menyokong tanpa bahas, kerana ia
juga pegangan dan fahaman saya sejak awal hingga ke hari ini,
sepertimana kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh:
1. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
2. Jabatan Mufti Negeri Perlis
Dan lain-lain penjelasan ilmiah yang seumpama di atas.
SUDILAH KIRANYA MEMBACA DAN MENELITI PENJELASAN DHAIF SAYA DI BAWAH:
Isu utama adalah pada perkataan “RASA BERDOSA” dan “WAJIB BERTAUBAT.”
Terlebih dahulu, saya dengan rendah diri ingin memohon
kemaafan atas kecuaian menggunakan perkataan “Wajib Bertaubat” sehingga
menimbulkan kebimbangan, kekecohan, pertikaian, perdebatan dan telah
mengheret ramai alim ulama’, ilmuan dan orang awam membahaskannya dengan
pelbagai nada dan kefahaman masing-masing. Segala bentuk keburukan yang
timbul amatlah dikesali.
Namun, berikan saya ruang untuk menjelaskan hakikat
sebenar yang ingin disampaikan, anda boleh menerima atau menolaknya,
namun sungguh berharap agar tidak dipanjangkan dengan perdebatan yang
tidak ilmiah;
1. Pada awalnya saya menyebutkan bahawa meninggalkan
solat Jumaat 3 kali berturut-turut wajib bertaubat, sebenarnya merujuk
kepada mereka yang sengaja dan tanpa halangan (yang lebih tepat walaupun
meninggalkan 1 kali juga berdosa besar dan wajib bertaubat).
Daripada Jabir bin Abdillah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat
sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati
jantung hatinya.”
(HR al-Nasa’ie, hadis sahih)
2. Maka kerana beratnya peringatan tersebut, sewajarnya
lelaki soleh (beriman, beramal, berakhlak) walaupun meninggalkan solat
Jumaat kerana terhalang/rukhsah dan tidak jatuh berdosa dari sudut hukum
syarie, tetap akan “RASA BERDOSA”, rasa bersalah, rasa sedih dan
seumpamanya kesan daripada iman dan taqwa. Bahkan Rasulullah SAW sendiri
yang maksum (dijamin bersih daripada dosa) juga menekankan perkara ini;
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar
kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70
kali.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Saya tertarik dengan sebuah kisah mengenai Imam
al-Buwaithi yang dimuatkan di dalam kenyataan rasmi Jabatan Mufti
Wilayah Persekutuan sebagai renungan bersama:
“Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kisah Imam
al-Buwaithi, seorang anak murid Imam al-Syafie, yang diriwayatkan bahawa
beliau walaupun dipenjara, beliau akan mandi dan memakai pakaian yang
terbaik baginya pada setiap hari Jumaat, kemudian beliau pergi mengetuk
pintu jeriji penjara bagi menarik perhatian pengawal penjara.
Lalu pengawal penjara itu bertanya kepada beliau, “Apa
yang tuan mahu?”. Kata beliau, “Aku mahu menyahut seruan Tuhan-ku (azan
Jumaat)”, walaupun dia mengetahui pengawal penjara tersebut tidak akan
membenarkannya keluar. Begitulah pada setiap hari Jumaat, Imam
al-Buwaithi melakukan hal yang sama sebagai usaha beliau untuk pergi
mendirikan solat Jumaat.”
Sebagai muslim, kita seharusnya memiliki naluri yang
ingin dekat kepada Allah melalui ibadah fardhu dengan penuh kecintaan.
Maka apabila kita meninggalkan sesuatu yang dicintai, pasti hadirnya
resah dan gelisah ataupun rasa bersalah bila meninggalkannya. Lalu kita
berusaha untuk bertaubat dengan memperbanyak istighfar dan solat sunat.
Tentang isu “RASA BERDOSA INI”, sungguh saya senada seperti posting Prof. Dr. Supyan Husin:
3. Susulan daripada rasa berdosa yang hadir, maka
didirikan solat taubat sebagai ikhtiar untuk ketenangan hati nurani.
Bahkan sebahagian daripada muslim ada mewajibkan dirinya solat taubat
pada setiap malam/hari, walaupun tidak jelas dosa besar apa yang
dilakukan kerana “Rasa berdosa”.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan
(dosa), dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan (dosa) itu adalah
mereka yang bertaubat.”
(HR Ibn Majah (4392), hadis hasan)
4. Perkataan “wajib solat taubat” yang saya maksudkan
bukanlah menjatuhkan HUKUM/BERFATWA bahawa siapa yang tinggalkan solat
Jumaat 3 kali berturut-turut setelah berusaha sedaya upaya dan ada
halangan yang mewujudkan rukhsah adalah berdosa besar dan “wajib
bertaubat.” Hakikatnya, ia merujuk wajib dari sudut rohani (ilmu
tasawwuf) atau bahasa yang biasa digunakan. Contoh perkataan ‘Wajib’
yang biasa digunakan seperti:
“Kita wajib membantu ummat Islam di P4l3stin dengan
bersedekah”, maka bukanlah wajib hukmi sehingga jatuh berdosa besar
mereka yang tidak bersedekah untuk P4l3stin.
“Kerana besarnya ganjaran iaitu syurga (berdasarkan
hadis sahih) bagi yang membaca ayat kursi selepas solat, maka wajib
jangan tinggalkannya selepas solat”, maka bukanlah bermaksud berdosa
jika tidak membacanya.
Maka ‘Wajib’ disini adalah satu kemestian dari sudut
akhlak atau adab sebagai hamba yang soleh. Sebaiknya seorang lelaki yang
beriman, ketika waktu solat Jumaat berusaha untuk menghidupkan waktu
Jumaatnya seperti mendengar khutbah melalui saluran televisyen, radio
atau ‘live.’ Berusaha menghidupkan rasa cinta dan rindu untuk
melaksanakan solat Jumaat walaupun berhalangan. Antara lain tidak
berkeliaran tanpa sebab ketika waktu solat Jumaat, bagi menunjukkan rasa
hormat, malu dan “rasa bersalah.”
Tuan/Puan, hakikatnya kita dapat melihat selepas berlalu
fasa pertama PKP 1.0 dan 2.0, apabila solat Jumaat telah dibenarkan
dengan SOP, masih dan bertambah ramai lelaki muslim yang mencuaikan
solat Jumaat tanpa sebab. Ia satu situasi yang sangat menyedihkan.
Seolahnya tiada lagi “Rasa Berdosa” walaupun benar-benar melakukan dosa
besar:
Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW:
إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ
تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى
ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ
Maksudnya: “Seorang Mukmin melihat dosa-dosanya seperti
dia berada di bawah gunung, dia takut gunung itu akan menghempapnya.
Sedangkan orang Fajir (derhaka), dia melihat dosa-dosanya seperti
melihat lalat hinggap di hidungnya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
.
Sahibus Samahah Datuk Zamri Hashim, Timbalan Mufti Perak semasa beliau ditemubual oleh akhbar Sinar Harian pada 22 Mei 2020.
“Jelasnya, antara bentuk tindakan meremehkan solat
Jumaat dalam kalangan masyarakat termasuklah sengaja tidak pergi solat
Jumaat walaupun nama tersenarai di dalam giliran menunaikan solat Jumaat
atau sengaja memberikan giliran solat Jumaat kepada orang lain
sedangkan tiada keuzuran syarak kepada dirinya. Selain itu, tidak
berusaha memaklumkan kepada ahli jawatankuasa masjid untuk menunaikan
solat Jumaat dan tidak berusaha datang awal ke masjid untuk solat Jumaat
juga merupakan sebahagian perbuatan meremehkan solat Jumaat.”
“Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan keputusan
membenar semua surau melaksanakan solat Jumaat itu, semua ahli
jawatankuasa masjid wajib memastikan semua surau yang berada di dalam
kariah mereka berusaha menampung jemaah lelaki yang tidak dapat
menunaikan solat Jumaat di masjid atau Surau Diri Jumaat sedia ada.”
“Bukan setakat membiarkan surau berkenaan memilih untuk
melaksanakan solat Jumaat atau tidak kerana maksud kebenaran itu adalah
untuk membolehkan semua lelaki Muslim solat Jumaat setiap minggu.”
“Jangan sampai ada di kalangan lelaki-lelaki Muslim
merasa lazat untuk berterus-terusan meninggalkan solat Jumaat
sewenang-wenangnya begitu sahaja,” katanya.
“MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan semua surau di
Perak yang berdaftar dengan MAIPk dibenar melaksanakan solat Jumaat
sepanjang tempoh PKPP bermula 10 Julai 2020 ini.”
“Kebenaran tersebut turut diberikan kepada surau-surau
institusi pendidikan, kem tentera, berek-berek Polis Diraja Malaysia
(PDRM), jabatan dan pejabat-pejabat kerajaan yang mempunyai ruang
keluasan solat yang sesuai bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP)
ditetapkan.”
سبحان اللّه وبحمده سبحان اللّه العظيم
Sebagai orang awam dan sepanjang tempoh berada dalam
lapangan dakwah lebih kurang 10 tahun, saya menghormati semua alim
ulama’, ilmuan dan pendakwah tanpa mengira latar belakang, tidak
menghina atau mencerca walaupun tidak bersetuju, atau membalas cercaan
terhadap saya tanpa sebab sahih. Saya percaya semua pendakwah berusaha
memberi kebaikan untuk pembangunan rohani, akal dan akhlak ummah.
Onak dan ranjau berduri dunia dakwah ini membuatkan saya belajar banyak perkara;
1. Setiap patah perkataan atau tulisan yang saya
sampaikan perlu diiringi dengan sikap sangat berhati-hati bagi
mengelakkan kesilapan yang berulang, kerana hukuman segera menanti tanpa
belas kasihan. Nasihat dan teguran yang baik dengan cara yang baik
amatlah diharapkan dan dihargai.
2. Susulan tekanan demi tekanan, lalu antara ikhtiar
saya ialah mewujudkan unit penyelidikan sendiri yang terdiri daripada 8
orang (setakat ini) dengan latar belakang pengajian islam yang berbeza.
Perniagaan kecilan di bawah Galeri UAH itulah yang menampung pembayaran
gaji buat mereka, ia satu pelaburan yang sangat berbaloi, demi
kelangsungan dakwah yang benar dan sahih.
Namun, hakikatnya saya tetap tidak dapat lepas daripada
melakukan kesilapan demi kesilapan. Saya akan terduduk sekejap apabila
dikecam dicerca, namun usaha bangkit semula walau payah demi ummah. Jika
untuk diri, suami dan anak-anak, mahu saja saya menjadi isteri dan ummi
sepenuh masa.
3. Budaya mengeji dan menghina masyarakat kita pada
waktu ini sangat membimbangkan, berlaku tanpa rasa segan dan berdosa.
Bukan hanya dalam kalangan orang awam, tapi dicontohkan oleh ilmuan dan
agamawan. Maka saya menyeru, sebagaimana tujuan utama Nabi Muhammad SAW
diutuskan iaitu untuk menyempurnakan akhlak menjadi satu landasan
perjuangan dan metod dakwah.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”
(HR Ahmad, hadis sahih)
KESIMPULAN
Saya berharap agar apa yang disampaikan dalam penjelasan
ini tidak mengguris hati mana-mana pihak dan mengharmonikan kembali
salah faham yang berlaku. Semoga ada hikmah yang besar daripada Allah
SWT untuk saya khususnya, pihak berwajib dalam meneliti lebih mendalam
dan untuk kita semua. Sekali lagi saya mohon maaf atas segala yang
berlaku.
Setinggi ucapan terima kasih kepada Prof. Dr. Supyan
Hussin (Prof. UKM), Dr. Wan Hilmi (Pensyarah, UKM), Dr. Muhamad Rozaimi
Ramle (Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis), Dr. Abdul Basit Abdul
Rahman (Penyelia Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian), Dr. Mohd
Hafiz Mahaiyadin (Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Mara), Ustaz Dr.
Roslan Mohammed (Mantan Pensyarah Kanan Universiti Malaya), Ustaz Abu
Syafiq (Pengasas Pertubuhan ASWAJA), Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin
Al-Banjari (Mudir Maahad An-Noer, Janda Baik, Pahang), Syeikh Ahmad
Faisol Hj. Omar (Kadi Daerah Kota Setar, Kedah), Dr. Muhamad Ilyas Mohd
Mydin (Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia), Ustaz Abid
Annuriyy (Pensyarah OUM) dan lain-lain tokoh yang saya tak dapat
sebutkan satu persatu dalam tulisan ini.
Juga setinggi rasa terharu dan penghargaan kepada semua
sahabat alam maya yang sentiasa memberikan doa, sokongan, semangat,
kefahaman dan nasihat yang cukup berhikmah. Kebanyakan komentar saya
baca dan rasa sungguh bahagia. Saya juga berlapang dada dan memaafkan
segala kekhilafan dan kecaman yang dilontarkan kepada saya tanpa
tuntutan sampai akhirat.
Sama-sama kita hayati peringatan daripada Rasulullah SAW:
لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً
فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا
وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ
Maksudnya: “Ikatan-ikatan Islam akan terburai satu demi
satu, setiap kali satu ikatan terburai orang-orang bergantungan pada
ikatan selanjutnya. Yang pertama kali terburai adalah masalah hukum dan
yang terakhir adalah solat.”
(HR Ahmad, hadis sahih)
Wallahu A’lam.
ASMA’ BINTI HARUN
– MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan