Sabtu, 1 Mei 2021

Negara lain pun guna dana rizab tangani COVID-19 – Tengku Zafrul

PELBAGAI negara lain turut menggunakan dana daripada rizab atau tabung amanah untuk menguruskan krisis ekoran penularan pandemik COVID-19.

Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ireland menggunakan sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.38 bilion) daripada dana National Surplus (Exceptional Contingencies) Reserve Fund.

Pada masa sama, beliau berkata, Norway menggunakan sebanyak AS$37 bilion (RM151.64 bilion) daripada Government Pension Fund Global untuk menangani COVID-19.

Tengku Zafrul malah memaklumkan negara jiran iaitu Singapura turut menggunakan rizab dalaman bernilai hampir AS$40 bilion (RM163.94 bilion)

“Sebagai perbandingan, penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) oleh Malaysia adalah sekitar AS$1.2 bilion (RM4.95 bilion),” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-51 hari ini.

Baca artikel berkaitan: Beli vaksin guna dana KWAN: Tengku Zafrul jawab tohmahan

Pada 21 April lalu, kerajaan telah meluluskan pindaan ke atas Akta 339 yang membolehkan dana daripada KWAN digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin, melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan pindaan undang-undang ke atas Akta KWAN 1988 melalui Ordinan Darurat baru-baru ini membolehkan dana itu digunakan hanya untuk perolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung vaksin bagi apa-apa wabak penyakit berjangkit.

Menurutnya, anggaran RM5 bilion bagi perolehan vaksin hanyalah menggunakan jumlah pulangan pelaburan yang dijana tetapi jumlah pokok RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan.

Kata Tengku Zafrul, vaksinasi adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi dan tiada lagi langkah terbaik untuk melindungi rakyat kecuali dengan memastikan imunisasi kelompok melalui vaksinasi.

“Objektif KWAN apabila ditubuhkan 33 tahun dahulu adalah untuk melindungi ‘generasi masa depan’. Siapa lagi ‘generasi masa depan’ itu jika bukan kita, di saat mengharungi cabaran COVID-19 yang mungkin paling getir dan serius dalam sejarah Malaysia?

“RM42 juta daripada dana KWAN pernah digunakan sebelum ini pada tahun 1998 untuk pembangunan Projek Paya Indah Wetlands. Jika ia boleh digunakan untuk projek pembangunan Paya Indah Wetlands, bukankah keperluan untuk menggunakannya bagi program vaksinasi yang dapat menjamin masa depan generasi akan datang lebih mendesak?,” jelas beliau.

Tiada ulasan: