Sabtu, 1 Mei 2021

Buku skrip menipu mangsa antara dirampas dari sindiket scam

SINDIKET scam walau apa pun nama mereka, terdapat satu persamaan yang ketara.

Tutur kata pujukan ahli sindiket yang seakan mempunyai kuasa memukau mangsa.

Tidak hairanlah apabila dalam satu serbuan polis Melaka ke atas satu sindiket jenayah scam kelmarin, mereka turut merampas senaskah ‘buku skrip’ selain komputer dan peralatan lain.

Buku skrip itu dalam bahasa Mandarin yang digunakan untuk menipu mangsa yang terdiri dari warga China.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, keseluruhannya seramai sembilan warga China termasuk empat wanita diberkas dalam serbuan serentak di tiga rumah banglo di Alai Perdana pada Rabu lalu.

Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan pinjaman wang.

Katanya, kesemua suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam Op Pelican.

“Siasatan awal mendapati kegiatan terbabit mulai aktif sejak Februari lepas dengan menyasarkan mangsa dari China yang dicari menerusi media sosial dengan menawarkan pinjaman wang kepada mangsa.

“Kesemua suspek turut berperanan mencari mangsa dan ditawarkan gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 namun sehingga kini mereka masih belum menerima apa-apa bayaran gaji,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sundra berkata, dalam serbuan oleh Bahagian Risikan Operasi JSJK itu turut merampas sebanyak 14 telefon bimbit pelbagai jenama, enam pasport dan satu unit monitor komputer berserta satu papan kekunci.

Katanya pihaknya turut merampas sebuah buku skrip dalam bahasa Mandarin yang digunakan untuk menipu mangsa dan wang tunai berjumlah RM31,850.

“Kesemua mereka telah ditahan dalam lokap Balai Polis Banda Hilir dan Balai Polis Tengkera serta ditahan reman selama empat hari bermula semalam (29 April). Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan menipu,” katanya.

Tiada ulasan: