Selasa, 18 Mei 2021

Lebih 1,000 penduduk Taman Rambai Utama terjejas

Oleh AMRAN MULUP


MELAKA: Lebih daripada 1,000 penduduk di Taman Rambai Utama dekat sini terjejas teruk ekoran hujan lebat sejak pukul 6.00 pagi tadi.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, setakat ini air yang naik sehingga paras lutut masih belum surut.

Berpuluh buah kereta pula dilihat tersadai tidak dapat dibawa keluar kerana air naik terlalu cepat bermula dari Lorong RU 10 hingga RU 24.

Sebahagian penduduk tidak dapat menyelamatkan barangan rumah seperti peti sejuk, almari, sofa dan perabot.

Penduduk pula kelihatan resah gelisah apabila air yang kebiasaannya naik akibat hujan akan surut cepat tetapi kini masih di paras lutut.

Atas inisiatif sendiri, ada penduduk menaiki kenderaan pacuan empat roda mengagih-agihkan roti dan air mineral kepada penduduk yang terjejas.

Keadaan di laluan masuk ke Taman Rambai Utama menjadi kelam kabut apabila jalan utama di hadapan stesen minyak Petronas turut dinaiki air.

Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan tentera turut kelihatan membantu penduduk.

Di samping itu, silih berganti trak penunda dilihat memasuki kawasan tersebut membawa kenderaan yang rosak.

Seorang penduduk, Mohd. Khairil Khamis, 24, berkata, kejadian banjir ini paling teruk melanda Taman Rambai Utama.

“Kawasan ini biasa dilanda banjir kilat tetapi tidak seteruk ini sebab hampir 90 peratus taman dinaiki air,” katanya ketika ditemui.

Seorang suri rumah, Zaliza Che Sudin, 41, pula berkata, dia terkejut apabila rumahnya turut dinaiki air memandangkan ia tidak pernah terjadi kepadanya.

“Biasanya bila banjir kilat rumah saya jarang dinaiki air tetapi air naik tinggi sejak pukul 8.00 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Adam Sepee, 30, berkata, musibah kali ini adalah kejadian banjir paling teruk pernah melanda kawasan berkenaan.

“Mujur hari ini saya tidak bekerja dapatlah saya bawa kereta keluar dan beberapa barang dapat diselamatkan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: