Isnin, 3 Mei 2021

215 dikompaun tak rekod butiran diri, asas SOP pun ramai ingkar

Kelihatan seorang pengunjung memeriksa suhu badan serta mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke Bazar Ramadan di Jalan Raja Alang Kampung Baru baru-baru ini. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

SERAMAI 500 individu ditahan polis selepas melakukan pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk aktiviti pusat hiburan.

Daripada jumlah itu, 11 direman manakala 489 dikompaun semalam.

Kesalahan paling tinggi diambil tindakan adalah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis – SOP asas dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan itu membabitkan 215 individu.

Katanya, seramai 77 individu diambil tindakan kerana mengunjungi pusat hiburan, 55 tidak mengamalkan penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka (53) dan 100 individu atas lain-lain kesalahan.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 62,791 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

“Seramai 3,254 Pasukan Pematuhan dengan 14,602 anggota membuat pemantauan di 4,533 pasar raya, restoran (4,859), kilang (1,719), bank (3,999), pejabat kerajaan (740) dan penjaja (4,125),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baca artikel berkaitan: Katil ICU COVID-19 hampir penuh, pembedahan elektif dikurang

345 di ICU, kes aktif COVID-19 kini lepasi angka 30,000

Katanya, turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,433), tempat ibadah (3,197), tempat riadah (1,521), terminal pengangkutan darat (1,633), terminal pengangkutan air (334) dan terminal pengangkutan udara (135).

“Semalam, 500 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 489 individu dikompaun manakala 11 lagi direman,” kata Ismail Sabri.

Tiada ulasan: