Khamis, 4 Mac 2021

Waspada penipuan jualan vaksin COVID-19 secara ‘online’

Athirah Huda Zalhe

Polis terima 2 laporan polis babitkan kerugian keseluruhan lebih RM200,000

BANGI, – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan wujud iklan-iklan palsu berhubung penjualan vaksin COVID-19 secara atas talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berhubung penjualan itu, meskipun pengendali perkhidmatan jualan berkaitan menafikan mengenai iklan berkenaan.

Seperti pengumuman kerajaan, beliau berkata, pemberian vaksin COVID-19 akan dilaksanakan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Justeru, sebarang tawaran penjualan vaksin oleh mana-mana pihak adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berkemungkinan satu penipuan, katanya.

“Pihak JSJK sentiasa komited untuk melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin ini secara dalam talian.

“Sehingga kini, pihak polis mengesahkan telah menerima dua laporan polis berkaitan penipuan vaksin COVID-19 melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM285,499.95,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, kes itu masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai adalah diingatkan untuk sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba ‘menangguk di air keruh’.

“Sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dari masa ke semasa bagi memastikan maklumat yang tepat diperolehi berkaitan program vaksinasi ini,” katanya.

Tiada ulasan: