Rabu, 3 Mac 2021

Vaksinasi swasta tidak boleh ‘korbankan’ dos bagi orang awam, kata badan pemikir

Bekalan vaksin untuk orang awam tidak boleh diberikan kepada sektor swasta 
untuk dijual, kata CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul 
Mohd Khalib.

PETALING JAYA: Ketua badan pemikir tempatan menekankan bahawa sebarang rancangan untuk membenarkan hospital swasta membeli bekalan vaksin Covid-19 mereka sendiri dan mengagihkannya tidak boleh mengancam kelangsungan program imunisasi kerajaan.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, langkah membenarkan hospital swasta mendapatkan dan mengagihkan vaksin membolehkan orang ramai mendapatkannya sebelum Februari 2022 sekaligus mengecualikan mereka daripada senarai penerima vaksin awam tanpa kos kepada rakyat atau menjejaskan bekalan vaksin.

“Ini juga akan meningkatkan liputan program vaksinasi kerajaan sedia ada dan memastikan dos-dos vaksin diberikan kepada mereka yang paling memerlukan,” kata beliau kepada FMT.

“Pilihan swasta untuk pengambilan vaksin Covid-19 harus disediakan secepat mungkin. Namun, ia tidak boleh mengorbankan atau bersaing dengan program awam.

“Bekalan vaksin untuk orang awam tidak boleh diberikan kepada sektor swasta untuk dijual.”

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin sebelum ini memberitahu portal berita kesihatan CodeBlue bahawa walaupun tidak ada peruntukan segera untuk hospital swasta untuk membeli dan menjalankan program vaksinasi mereka sendiri, tetapi cadangan tersebut akan dipertimbangkan oleh kerajaan “nanti”.

Dalam kenyataan semalam, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berharap agar hospital swasta diberi peluang untuk mendapatkan vaksin daripada pelbagai sumber setelah mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Dengan menyatakan bahawa tempoh menjelang tarikh akhir Februari “sangat panjang dan tidak dapat diterima”, APHM berkata, hospital swasta dapat digerakkan dengan cepat untuk melengkapkan usaha kerajaan memastikan majoriti populasi divaksinasi dalam tempoh sesingkat mungkin untuk membantu mencapai imuniti kelompok.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy bersetuju dengan cadangan itu dan meminta kerajaan menelitinya kerana bagi beliau, kecepatan pemberian vaksin adalah “sangat penting”.

Beliau menganggarkan bahawa 270,000 orang akan menerima vaksin sehari sekiranya 9,000 fasiliti mampu memberi vaksin kepada 30 orang sehari.

Subramaniam menyatakan bahawa vaksinasi di fasiliti swasta akan membolehkan mereka yang mampu untuk membayar kosnya tanpa membebankan kerajaan.

Ini sangat berguna untuk mereka yang perlu membuat perjalanan, yang merancang untuk belajar di luar negara dan syarikat-syarikat yang mungkin mahu membiayai vaksinasi kakitangan mereka yang berurusan dengan orang ramai, tambah beliau.

“Ini juga akan membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada kumpulan yang lebih besar untuk divaksinasi,” kata beliau dalam kenyataan.

“Sektor swasta bersedia untuk mengumpulkan perolehan (vaksin), dengan beberapa kerajaan negeri juga berminat, dan menurunkan kos kepada harga yang disarankan.

“Objektifnya yang utama adalah mencapai seramai mungkin (penerima vaksin) secepat mungkin agar ekonomi negara dapat pulih lebih cepat.”

Antara mereka yang mempunyai pandangan berbeza ialah Dr Khor Swee Kheng, pakar sistem dan dasar kesihatan, yang memberi amaran bahawa membuka pasaran swasta untuk vaksin akan meningkatkan ketidaksamaan.

“Setiap dos untuk orang kaya bererti kurang satu dos untuk doktor dan jururawat di barisan hadapan,” kata beliau di Twitter.

Khor juga berkata “kecepatan mencapai imuniti kelompok” tidak bergantung kepada bilangan pemberi vaksin atau jumlah kerjasama awam-swasta. Sebaliknya, ia lebih bergantung kepada bekalan vaksin dan keyakinan masyarakat terhadapnya.

Walaupun beliau menyokong pembukaan pasaran swasta untuk vaksin, Khor mencadangkan dua syarat untuk masa yang sesuai membuka pasaran tersebut.

Selain memastikan tiga atau lebih vaksin diluluskan oleh NPRA, beliau ingin melihat Malaysia melengkapkan fasa pertama dan kedua vaksinasi dahulu – untuk petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi – sebelum membenarkan fasiliti swasta mula mengagihkan vaksin.

“Menunggu hingga Ogos akan memastikan kita memberikan dos pertama kepada golongan yang rentan dan memastikan persaingan vaksin yang cukup supaya harga akan menjadi rendah apabila hospital swasta akhirnya dibenarkan menjualnya,” kata beliau.

“Tidak perlu terburu-buru untuk membuka pasaran swasta sekarang. Mari kita bantu memperkuatkan program vaksinasi kerajaan terlebih dahulu.”

Tiada ulasan: