Selasa, 9 Mac 2021

Tidur selepas waktu Asar, boleh ke?

Tidur selepas waktu asar

Kita seringkali mendengar kata orang-orang tua, “jangan tidur selepas waktu asar, nanti boleh jadi gila”. Malah kita juga pernah didengarkan dengan larangan Baginda s.a.w. kepada umatnya supaya tidak tidur selepas Asar. Namun sejauhmana kebenaran kata-kata ini.

Jika kita merujuk dalil, memang terdapat hadis yang melarang untuk tidur selepas waktu Asar, tetapi kesemua hadis ini bersifat dhaif atau maudu’ (palsu). Tiada langsung hadis atau perkataan daripada para sahabat yang menyokong tentang keburukan tidur selepas waktu Asar.

Kesemua hadis ini juga tidak mempunyai sumber yang tepat dan tidak diyakini hingga membolehkan ia bersifat sahih. Terdapat satu hadis terkenal yang memperkatakan keburukan tidur selepas Asar berbunyi,

“Barang siapa yang tidur selepas Asar lalu hilang ingatannya. Maka janganlah ia sesekali mencela selain dirinya sendiri.” Benarkah, tidur selepas waktu asar boleh melemahkan otak?selain dirinya sendiri.”

 

Menurut Ibnu al-Jauzi dalam al-Mauduat, hadis ini dihukumkan tidak sahih kerana perawinya iaitu Khalid al- Qasim adalah seorang pendusta. Maka, dalam membicarakan tentang baik atau tidak tidur selepas Asar, terdapat dua pendapat yang boleh dibincangkan.

Pertama ia hanya dihukumkan makruh berdasarkan perbincangan para fuqaha dalam kitab-kitab mereka dan dari kajian kesihatan. Menurut Ibnu Muflih dalam al-Adab as-Syariyah dan Ibnu Abi Ya’la dalam Thabaqat al-Hanbilah, menukilkan keterangan Imam Ahmad bin Hambal yang memakruhkan seseorang tidur selepas Asar, kerana khuatir dengan kesihatan akalnya.

Pendapat ini juga dipersetujui oleh Ibnu Qayyim dalam Zaad al-Maad dengan katanya,

Siang hari adalah waktu yang buruk yang boleh mendatangkan berbagai penyakit dan bencana, menyebabkan malas, melemahkan syahwat, kecuali pada siang hari di musim panas. Dan yang paling buruk tidur di pagi hari dan di hujung hari sesudah Asar.”

Pendapat kedua pula membolehkan tidur selepas Asar kerana asal hukum tidur itu adalah harus, dan tidak ada hadis yang sahih melarangnya. Bahkan dalam menetapkan sesuatu hukum dalam syariah, ia perlu merujuk sumber hadis yang sahih, dan bukan bersifat dhaif atau maudu’ semata. Bahkan tidak pula ditetapkan berdasarkan pendapat manusia.

Waktu asar lebih sesuai melakukan aktiviti di luar rumah 
daripada duduk tidur di dalam rumah

Maka dari sudut ini dapat ditakrifkan, pendapat yang kedua adalah lebih rajih dan tepat untuk diikuti kerana, hadis Nabi s.a.w. yang melarang tentang tidur selepas Asar adalah tidak sahih. Manakala keterangan dari para ulama salaf yang melarang itu, maka ia dibawa pada kemakruhan (tidak disukai) dari sudut kesihatan bukan dari sisi syariah.

Dikatakan, kalangan bangsa Arab dahulu merasakan tidur selepas Asar mendatang keburukan pada tubuh serta mendatangkan penyakit. Maka dengan itu ia dimakruhkan dan bukan bersandarkan sunnah atau syariah.

Oleh yang demikian, jika ia benar-benar mendatangkan bahaya sebagaimana disahkan oleh pakar kesihatan, maka ia tidaklah boleh dilakukan. Akan tetapi jika ia sememangnya perlu untuk tidur pada waktu tersebut, atas kerana keperluan dan tidak mendatangkan keburukan, maka tiada masalah untuk mengamalkannya. Wallahu a’lam

Tiada ulasan: