Selasa, 23 Mac 2021

Tidak salah saman kesalahan gagal pamer LKM

Nurul Hidayah Bahaudin
 
PENGARAH JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menegaskan bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi pegawai polis mengeluarkan saman bagi kesalahan gagal pamer lesen kenderaan motor (LKM).

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya perlu menjelaskan berkaitan kenyataan Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) di media sosial dan elektronik yang mempertikaikan saman dikeluarkan terhadap seorang penunggang motosikal atas kesalahan berkenaan.

"Kami mengesahkan kejadian itu berlaku di Kilometer 11.9 Jalan Labohan Dagang-Nilai, Sepang, Selangor, ketika SJR dalam operasi motosikal (ubah suai ekzos) yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA jam 8.45 malam pada 19 Mac lalu.

"Dalam operasi itu, penunggang motosikal berkenaan dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 20 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan gagal pamer LKM dan bukan atas kesalahan LKM tamat tempoh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azisman berkata, semakan mendapati LKM dan insurans motosikal berkenaan masih sah tetapi lesen memandu penunggang motosikal iaitu orang kena saman (OKS) sudah tamat tempoh pada 26 Januari 2020 dan dalam kes itu, hanya nasihat diberikan.

"Adalah tidak menjadi kesalahan bagi pegawai polis terbabit mengeluarkan saman bagi kesalahan tidak pamer LKM kerana ia tidak termaktub seperti mana arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

"Ini kerana MOT memberikan pengecualian untuk pembaharuan LKM dan lesen memandu kompeten (CDL) yang sudah tamat tempoh pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bermula 1 Februari hingga 31 Mac nanti," katanya.

Beliau menegaskan ketika kejadian tiada sebarang bukti dokumen LKM dan insurans (e-cover note) ditunjukkan oleh OKS seperti mana dinyatakan oleh pihak PERWATAM.

"Kami berharap penjelasan ini dapat menjernihkan kekeliruan yang timbul. Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi sendiri tanpa merujuk kepada pihak berwajib," katanya.

Tiada ulasan: