Selasa, 23 Mac 2021

Teliti produk sebelum beli

Nurul Husna Mahmud
 
IBU bapa biasanya lebih fokus terhadap nutrisi dan kandungan bahan yang terdapat dalam produk makanan.

MEMERIKSA pek bungkusan makanan sebelum pembelian adalah satu amalan yang baik dalam membuat pemilihan makanan.

Namun kaedah pemeriksaan makanan kebanyakan ibu bapa biasanya lebih fokus terhadap nutrisi dan kandungan bahan yang terdapat dalam makanan berkenaan.

Apa kata kali ini, ibu bapa meningkatkan lagi ketelitian mereka dengan memeriksa aspek lain bagi menjamin keselamatan makanan.

Keselamatan makanan bermaksud memastikan makanan dibeli atau diambil benar-benar bebas daripada kandungan kimia termasuk risiko fizikal dan biologikal.

Ia penting dalam mencegah pengambilan makanan dicemari patogen (agen yang menyebabkan penyakit terutamanya organisma seni seperti bakteria dan virus).

Apatah lagi ia boleh mengundang penyakit disebabkan pencemaran makanan seperti kolera (taun), tifoid, hepatitis A dan disenteri (berak berdarah).

Menurut Pakar Nutrisi Persatuan Nutrisi Malaysia, Dr Yasmin Ooi, menerusi artikel bertajuk Menjadikan Makanan Selamat Sebagai Pilihan, pengguna tidak ada kawalan terhadap pengeluaran makanan, namun boleh mengawal tabiat membeli makanan mereka.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, ramai mula memasak lebih kerap di rumah. Jadi, mereka lebih banyak membeli bahan mentah dari pasar.

"Hal itu menjadikan isu berkait keselamatan makanan sangat penting ketika mereka membeli-belah.

"Isu keracunan makanan berlaku setiap tahun dan antara yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak," katanya.

Tambahnya dalam tabiat membeli, beberapa langkah perlu diamalkan supaya makanan dibeli lebih selamat. Antaranya:

1. Beri keutamaan kebersihan

Pertama sekali, pilih pasar raya yang bersih untuk membeli-belah.

Cuci beg yang digunakan ketika membeli-belah selain nyahkuman raga atau bakul di pasar raya sebelum digunakan.

2. Periksa bungkusan

Pastikan tiada lubang atau koyakan pada pek makanan. Elakkan pek yang sudah tampak lusuh selain menggelembung.

3. Periksa tarikh

Produk tidak boleh dijual atau digunakan selepas tarikh luput.

4. Jejak asal produk

Pastikan alamat kilang dan pengedar tertera pada pek berkenaan. Boleh juga imbas kod QR untuk maklumat tambahan.

5. Sahkan keaslian produk

Berwaspada terhadap kemungkinan produk palsu. Lakukan kajian termasuk tanda pengenalan yang asli seperti dimaklumkan

pembuat asal.

6. Pilih atau beli barang ikut urutan

Mulakan pembelian barangan kering dan kemudian barulah kepada bahan basah. Letakkan sayur-sayuran dan buah-buahan di atas longgokan barangan dalam troli.

DEMAM tifoid antara impak makanan tercemar.
DEMAM tifoid antara impak makanan tercemar.

7. Asingkan barangan mengikut jenis

Letakkan semua makanan beku dalam bekas yang sama bagi memastikan suhu sejuk kekal lebih lama.

Simpan daging dan makanan laut dalam plastik atau bekas plastik.

8. Segera bawa pulang

Bahan mentah berada keadaan baik dalam tempoh sejam hingga ke dua jam.

Sebaiknya bawa sekali kotak sejuk beku ketika membeli-belah.

Tiada ulasan: