Rabu, 3 Mac 2021

Suaram kecam gesaan sektor swasta tawarkan vaksin Covid-19

Staff Writers MALAYSIA NOW

Kumpulan hak asasi itu berkata pengkomersilan vaksin akan menguntungkan orang kaya dan menggalakkan potong barisan dalam program vaksinasi.

Kumpulan hak asasi manusia hari ini menyatakan bantahan terhadap sebuah gesaan terhadap Putrajaya bagi membenarkan hospital swasta menguruskan vaksin Covid-19.

Kumpulan itu berkata gesaan untuk membenarkan situasi sedemikian boleh mewujudkan keadaan potong barisan bagi golongan mendapatkan vaksin lebih awal.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) memberi amaran bahawa setiap cadangan untuk mengkomersilkan vaksin dengan alasan membantu pihak berkuasa hanya akan merosakkan program vaksinasi kebangsaan yang sudah sedia disusun.

Suaram turut berkata membiarkan sektor swasta memperoleh vaksin bagi menjalankan vaksinasi persendirian adalah bertentangan dengan prinsip kesetaraan dalam program vaksinasi.

“Membolehkan hospital swasta kaut duit dengan potong barisan vaksinasi tidak boleh dijadikan pilihan,” kata pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy.

Kecaman tersebul muncul selepas wujud desakan oleh persatuan hospital swasta agar hospital swasta dibenarkan menjalankan vaksinasi Covid-19.

Pandangan itu dibantah Suaram dengan berkata bahawa hospital swasta tidak memberikan respons yang baik dalam membantu kerajaan memerangi wabak itu pada tahap awal pandemik.

“Penglibatan hospital swasta dalam memerangi Covid-19 hanya terbatas untuk menyediakan tempat tidur peribadi yang terhad untuk sebilangan kecil pesakit Covid-19.

“Lebih-lebih lagi, ujian Covid-19 yang ditawarkan hospital swasta dibuat dengan kos yang terlalu tinggi dan mereka berkemungkinan besar akan mengalihkan pesakit mereka yang diuji positif kepada hospital awam,” katanya lagi.

Pada hari Isnin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mendedahkan terdapat kes individu yang memotong barisan dalam daftar vaksinasi walaupun individu terbabit tidak dikategorikan sebagai barisan hadapan.

Hal ini mendorong Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengeluarkan garis panduan bagi menjelaskan kategori mengikut tahap risiko dalam susunan penerima vaksin.

Suaram menambah dengan membiarkan vaksin ditawarkan secara komersil, ia akan memperluas jurang antara golongan kaya dan miskin dalam akses terhadap vaksin Covid-19.

“Oleh itu, orang kaya dan yang mempunyai keistimewaan harus buang idea bahawa mereka boleh gunakan kekayaan mereka untuk dapat layanan istimewa dengan potong barisan dalam senarai penerima vaksin.

“Vaksin kekurangan bekalan, dan kebanyakan negara miskin bahkan tidak memiliki akses untuk apa-apa vaksin pun.”

Kekurangan bekalan vaksin Covid-19 di seluruh dunia itu bermaksud harga vaksin boleh dinaikkan, menjadikannya lebih sukar untuk diakses golongan miskin atau tidak berkemampuan.

Suaram berkata, usaha vaksinasi kerajaan ketika ini dirancang untuk mengatasi kekurangan tersebut dengan menyenaraikan beberapa kategori penerima vaksin dalam beberapa fasa.

“Kita tidak boleh mengabaikan fakta bahwa fasa program vaksinasi dirancang secara jelas untuk memberi keutamaan kepada individu berisiko tinggi dan demi memastikan serta menjamin semua rakyat Malaysia mendapat vaksin secara percuma.

“Sepatutnya, hospital swasta dengan suka rela tawarkan premis mereka sebagai tempat tambahan program vaksinasi bagi mempercepat program vaksinasi kerajaan,” tegasnya lagi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari lalu bagi Fasa 1, hingga April 2021 melibatkan 500,000 barisan hadapan.

Fasa 2 pula akan dimulakan pada April hingga Ogos yang akan melibatkan warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan berisiko tinggi dan orang kurang upaya melibatkan kira-kira 9.4 juta orang.

Ia kemudian akan diakhir pada Fasa 3 dari Mei tahun ini hingga Februari 2022 merangkumi rakyat Malaysia dan bukan warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dengan menyasarkan lebih daripada 13.7 juta penduduk.

Tiada ulasan: