Sebagaimana sebahagian besar negara di seluruh dunia yang terkesan akibat daripada pandemik COVID-19, Malaysia juga turut menerima tempiasnya dan berdepan tempoh yang sukar dan sangat memeritkan.
Dengan lebih 310,000 kes jangkitan di seluruh negara, dan lebih 1,000 kematian, pandemik yang mula dikesan sejak penghujung 2019 itu turut merencatkan sektor ekonomi negara pada tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Namun, dengan pelancaran program vaksinasi yang dimulakan kerajaan pada 24 Feb lalu, ia bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat tetapi seolah-olah menjadi suntikan kepada kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi, sekali gus meneruskan kembali agenda membangunkan negara.
Memetik sumber Jabatan Perangkaan Malaysia, sepanjang setahun COVID-19 melanda, kadar pengangguran meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh sedekad dan sebanyak 50 peratus rakyat mengalami penurunan pendapatan dan simpanan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan.
Dalam tempoh PKP 1.0, sebanyak 67.8 peratus syarikat tiada jualan, 53.4 peratus syarikat tidak mampu bertahan lebih dari dua bulan dan 79.5 peratus perniagaan telah ditutup.
Sektor ekonomi negara juga turut terkesan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020.
Justeru, bukan sedikit cabaran yang dihadapi kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pentadbiran negara setahun lalu, dalam memastikan keadaan ekonomi negara dapat dikawal dan dipulihkan walaupun pandemik masih lagi belum berakhir.
Bagi Kementerian Kewangan, pelbagai pakej bantuan telah dirangka bagi membolehkan rakyat dan sektor ekonomi negara mampu bertahan dalam waktu yang sukar ini.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata antara beberapa langkah awal yang diambil ialah menubuhkan Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) pada 16 Mac 2020 bagi memantau keberkesanan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan.
Menurutnya, pelaksanaan pakej rangsangan PRIHATIN dan PRIHATIN PKS+ diperkenalkan pada 27 Mac dan 6 April tahun lalu telah memanfaatkan lebih 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan. Inisiatif tersebut menyediakan bantuan berbentuk moratorium, pinjaman, program subsidi upah dan I-Lestari.
"Pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diperkenalkan pada 9 Jun 2020 telah memanfaatkan lebih 12.5 juta individu dan 350,000 komuniti perniagaan, termasuk menerusi pembiayaan SME PENJANA, Program Subsidi Upah dan kesalinghubungan internet.
"Pakej Kita Prihatin yang diperkenalkan pada 23 Sept pula memanfaatkan lebih 10.1 juta individu dan 705,000 perniagaan dengan bantuan disalurkan menerusi Bantuan Prihatin Nasional, Geran Khas Prihatin dan PSU," katanya, semasa pembentangan sorotan dan pencapaian setahun kementerian kewangan sempena setahun kerajaan PN, baru-baru ini.
Belajar dari pengalaman
Tengku Zafrul berkata, sepanjang tempoh setahun yang lalu juga negara melalui beberapa fasa perintah kawalan pergerakan termasuk PKP 2.0, dan menerusi pengalaman tersebut kementerian dapat membuat keputusan yang bersesuaian dengan kehendak semasa, terutamanya bentuk bantuan yang perlu disalurkan.
Katanya, memandangkan perubahan berlaku dengan cepat, pihaknya sentiasa menambah baik pakej yang diperkenalkan mengikut keperluan semasa.
"Semua pakej yang diumumkan adalah berasaskan kepada pengalaman kita sebelum ini seperti PRIHATIN, PENJANA, and PERMAI. Kita berusaha untuk menambah baiknya kerana kita sedar situasi berkembang dengan pantas.
“Pada Mac hingga Mei 2020 semasa PKP 1.0, kita tidak membuat keputusan yang sama seperti semasa tempoh PKP 2.0, yang mana kita menyedari semasa tempoh tersebut, kita tidak perlu menutup keseluruhan ekonomi.
"Pada Suku Kedua 2020, KDNK turun 17.1 peratus tetapi kita berhati-hati dengan insentif dan strategi pembendungan pandemik dengan perbelanjaan besar kepada ekonomi. Kita mahu mengimbangi antara kehidupan dan mata pencarian, terutamanya bagi tempoh PKP 2.0. yang mana kita masih membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi dengan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat,” katanya.
Ketelusan dalam penyampaian
Beliau berkata sehingga kini, pakej bantuan yang disediakan kerajaan telah mencecah RM320 bilion (tidak termasuk pakej PERMAI 2021 yang berjumlah RM15 bilion) dan Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion.
Tengku Zafrul berkata bagi memastikan sistem penyampaian kepada golongan sasar tidak terhalang, aspek ketelusan telah diberikan keutamaan utama.
"Paling penting ialah sistem penyampaian, adakah rakyat menerima bantuan yang diumumkan, itulah yang menjadi fokus kita, kita mahu memikul tanggungjawab, setakat ini sebanyak 43 laporan mingguan LAKSANA telah saya buat.
"Dalam laporan juga agak terperinci dan telus, jika lambat kita beritahu ia lambat. Apa yang paling penting ialah hasilnya," katanya.
Fokus utama kerajaan pada 2021
Menginjak ke tahun 2021, dengan keadaan pandemik yang dilihat semakin terkawal, Kementerian Kewangan juga merangka beberapa strategi bagi meneruskan proses pemulihan ekonomi.
Tengku Zafrul berkata, program transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mempercepatkan projek merupakan antara enam fokus utama kerajaan bagi merancakkan sektor ekonomi negara tahun ini.
"Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan GLC akan dioptimumkan dengan beberapa kaedah dirangka iaitu pelaburan strategik dalam negara, pembangunan vendor bumiputera, tanggungjawab sosial korporat, menyokong inovasi syarikat pemula dan agenda bumiputera," katanya.
Antara syarikat yang terlibat termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi projek KWASA Damansara, Permodalan Nasional Bhd (PNB) (Merdeka 118) dan Khazanah Nasional Bhd (Subang MRO dan Pelancongan Desaru).
Antara tumpuan yang akan diberikan ialah dalam aspek pemulihan kedudukan kewangan dan penstrukturan semula GLC, jelasnya.
"Dalam usaha mendorong pemulihan ekonomi negara, kerajaan juga akan mempercepatkan projek kecil G1-G2, pakej perolehan tahunan, mempercepat perolehan pembekalan vaksin COVID-19 di Malaysia, meringkaskan proses pemulihan serta memudah cara aliran tunai untuk perniagaan," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan akan memberi bantuan berterusan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro PKS bagi tujuan membantu pemulihan perniagaan terutama dalam sektor yang terjejas teruk seperti sektor pelancongan.
Menurutnya, bentuk bantuan yang terlibat ialah Geran Khas Prihatin, Program Subsidi Upah dan Kredit Mikro.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kementeriannya sedang dalam perbincangan dengan beberapa kementerian berkaitan untuk mencari kaedah paling sesuai bagi membantu sektor yang masih terkesan.
Pada masa yang sama, katanya, usaha berterusan tetap dilakukan dalam memastikan nasib rakyat terus terbela.
Beliau berkata, ini termasuk menyediakan peluang pekerjaan menerusi Majlis Pekerjaan Negara dan Skim Janakerja yang menyasarkan 500,000 pekerjaan baharu melalui insentif pengambilan, kemahiran dan peningkatan kemahiran serta MySTEP.
Bagi meringankan beban yang dihadapi rakyat, beliau berkata, bantuan tunai seperti moratorium bersasar dan bantuan kebajikan masih diteruskan.
Usaha memperkasa ekonomi digital turut diberi fokus pada tahun ini melalui inisiatif pendigitalan terbaharu, MyDIGITAL, yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini.
Inisiatif tersebut dijangka membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital dan bakal menyumbang 22.6 peratus kepada KDNK negara, katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan