ISU pendidikan terlalu penting tetapi pada masa sama sangat sensitif. Ia bukan seperti belanjawan atau peruntukan. Pemberian dana diharap membawa kejayaan dan dicanang dengan carta atau angka dalam akhbar.
Isu pendidikan berbeza. Ia menentukan masa depan negara. Ia menjadi penentu generasi yang bakal dilahirkan. Dalam banyak perkara, kekuatan sistem pendidikan menentukan sejauh mana kejayaan sesebuah negara.
Sejarah membuktikan hubungan antara kemajuan negara dan pengetahuan. Tamadun terawal Mesopotamia yang tempat penciptaan roda, matematik, perubatan, sistem irigasi dan pertanian.
Sistem pendidikan Malaysia berada di persimpangan yang getir. Pandemik Covid-19 meletakkan sistem pendidikan Malaysia dalam ketidaktentuan. Ia melibatkan 7,780 sekolah rendah dan 2,440 sekolah menengah, 4.98 juta pelajar dan 416,000 guru. Jumlah masa sebenar pelajar berada di sekolah tahun lalu terlalu terhad. Pelajar luar bandar paling terkesan. Ibu bapa berhutang untuk mendapatkan peranti. Hari ini, kira-kira 1.3 juta murid tahun tiga hingga enam kembali ke sekolah selepas cuti tambahan berbulan-bulan.
Kementerian Pendidikan cuba membantu termasuk menggunakan pembelajaran di rumah, dalam talian dan saluran televisyen. Tetapi adakah langkah-langkah ini berkesan atau hanya stopgap measures.
Isu yang sering dilupakan adalah “keadilan pendidikan” – iaitu menyediakan pengajaran berkualiti tanpa mengira pelajar itu di bandar atau desa, daripada keluarga di Mont Kiara atau di Cherok Tokun.
Tumpuan bukan kepada peranti tetapi kandungan pengajaran. Semua pelajar tanpa mengira darjat dan status sosial atau lokasi harus mendapat kualiti pengajaran sama.
Apa yang boleh dilakukan Kementerian Pendidikan bagi memastikan “keadilan pendidikan”? Menghasilkan kandungan pengajaran terbaik untuk semua pelajar.
Caranya sangat mudah dan tidak memerlukan saintis roket. Dapatkan seorang guru matematik tambahan terbaik (bukan tiada daripada ribuan guru di sekolah) untuk mengajar tajuk “Sukatan Membulat” tingkatan lima.
Rakaman pengajaran itu akan menjadi “guru” dan diwajibkan kepada semua pelajar tingkatan lima. Ia boleh diikuti sama ada dari cakera padat, thumb drive, YouTube, televisyen di kelas atau sebarang peranti.
Bagaimana pula peranan guru di dalam kelas? Guru kelas menjadi pembimbing atau fasilitator. Mereka menjadi pengukuh pengetahuan, penjawab kemusykilan dan moderator perbincangan mengenai “Sukatan Membulat”.
Kenapa ini perlu? Seperti pemain bola, tiada dua guru sama baik atau sama handal dalam pengajaran. Guru-guru baharu dihantar ke desa, maka guru-guru pakar dihantar ke sekolah berasrama penuh atau sekolah elit. Keadaan ini menyebabkan akan ada pelajar gagal mendapat kualiti pengajaran sama.
Setiap anak Malaysia berhak kepada “keadilan pendidikan”, guru terbaik, yang mempunyai cara mengajar paling efektif dan kaedah terbukti tanpa mengira di mana mereka berada. Tanpa “keadilan pendidikan”, maka kita tidak akan mencapai keadilan sosial.
(*)Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan