Rabu, 24 Mac 2021

Polis cari kanak-kanak lelaki hilang sejak Ahad lalu

Oleh MASZUREEN HADZMAN
POLIS mengeluarkan hebahan pencarian Nur Alert dalam usaha mengesan Kelvin yang hilang sejak 21 Mac lalu.

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang sejak 21 Mac lalu.

Susulan kehilangan kanak-kanak dikenali Kelvin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan hebahan pencarian Nur Alert dalam usaha mengesan kanak-kanak itu.

Melalui hebahan itu, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di hadapan Rumah Persatuan Kebajikan dan Sosial Kim Loo Ting, Kampung Baru Salak Selatan, Cheras.

Kali terakhir, kanak-kanak itu dilihat memakai baju biru muda dan berseluar pendek hitam.

Ciri-ciri fizikal kanak-kanak itu digambarkan mempunyai ketinggian kira-kira 150 sentimeter, berat badan 35 kilogram, berambut pendek dan berbangsa India.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut.

Kata beliau, orang ramai yang ada menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu diminta berhubung dengan pegawai penyiasat, Sarjan Mohd. Ridzuan Yamin di talian 018-3505950 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9145222.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: