Rabu, 24 Mac 2021

Pindah gas subsidi dalam hutan

SEGAMAT: Pergerakan keluar masuk lori membawa gas petroleum cecair (LPG) ke sebuah bangunan dalam hutan di laluan kuari di Lebuhraya Segamat-Kuantan, membongkar kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi itu.

Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Segamat membuat risikan tiga bulan sebelum serbuan dibuat pagi tadi.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil, berkata pasukannya menyerbu bangunan itu yang dijadikan markas pemindahan LPG bersubsidi.

"Pasukan penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Segamat mengesan premis mencurigakan itu berikutan setiap dua hari lori membawa LPG keluar masuk ke premis itu. Lokasi itu terletak 30 kilometer (KM) dari bandar Segamat dan agak terpencil.

"Premis itu dipercayai sudah beroperasi empat bulan. Bekalan LPG bersubsidi dipercayai diperoleh daripada pembekal berlesen di Lembah Klang dan diedarkan semula di Lembah Klang setelah pemindahan gas dilakukan," katanya, hari ini.

Shamsul Nizam Khalil, (empat kanan) melihat tong gas bersubsidi disimpan dalam bangunan yang diserbu. -  Foto NSTP/Ahmad Ismail
Shamsul Nizam Khalil, (empat kanan) melihat tong gas 
bersubsidi disimpan dalam bangunan yang diserbu. - Foto 
NSTP/Ahmad Ismail

Shamsul Nizam berkata, dalam bangunan itu, pihaknya merampas 16 tong 50 kilogram (kg) LPG kegunaan industri, 182 tong 50kg LPG yang tidak berisi juga bagi kegunaan industri serta 975 tong 14kg tidak berisi.

"KPDNHEP turut menyita sebuah lori treler bermuatan 900 tong gas berisi 14kg di sekitar laluan Segamat-Kuantan kira-kira jam 10.30 pagi tadi disyaki digunakan untuk mengangkut LPG," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta 613) AMLATFPUAA 2001," katanya.

Tiada ulasan: