Sifatkan sebagai tidak wajar, tak hormati hubungan antarabangsa
KUALA LUMPUR – Malaysia amat kesal dengan keputusan Korea Utara untuk memutuskan hubungan diplomatik, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).
“Malaysia mengecam keputusan itu yang disifatkan tidak wajar, tidak membina dan tidak menghormati hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa,” kata kementerian dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Malaysia kini terpaksa akur dengan keputusan Korea Utara untuk menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang, yang operasinya telah ditangguhkan sejak 2017.
Wisma Putra berkata kerajaan akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam mulai hari ini.
Menurut laporan media, Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas mahkamah awal bulan ini memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan pengubahan wang haram.
Keputusan sepihak Korea Utara jelas suatu yang tidak perlu, tidak wajar dan pastinya merosakkan usaha ke arah pemupukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini, menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata Malaysia berhak untuk bertindak terhadap keputusan Korea Utara itu demi melindungi kedaulatan dan memelihara kepentingan negara.
“Malaysia percaya pendirian kita terhadap perkembangan kurang menyenangkan ini akan dapat dihargai dan difahami sepenuhnya oleh negara sahabat dan rakan yang berpegang teguh pada prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang dan keharmonian bersama antara negara,” katanya.
Mengenai ahli perniagaan Korea Utara Mun Chol Myong, Wisma Putra menjelaskan sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman, Malaysia telah memastikan ekstradisi dilakukan sesuai dengan prinsip-prinsip itu.
Atas prinsip sama, kenyataan itu menyatakan Malaysia mengetepikan siri desakan Korea Utara yang menuntut pihak Eksekutif Malaysia supaya campur tangan terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara ini.
“Ekstradisi ini hanya berlaku selepas semua proses perundangan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Hak Mun ketika dalam tahanan dijamin dan dipenuhi, termasuk akses kepada peguam bela serta bantuan konsulat dan keluarganya dibenarkan melawat.
Mun ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 berdasarkan waran tangkap sementara dikeluarkan di bawah Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Tindakan sedemikian turut menjadi kesalahan menurut undang-undang Malaysia. Dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019, dan mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya,” tambah kenyataan itu.
Permohonan untuk writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Dis, 2019 dan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 8 Okt, 2020 ditolak, kerana mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas serta gagal memenuhi syarat di bawah Akta Ekstradisi.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam akaun Twitternya pada Jumaat berkata semua kakitangan diplomatik Malaysia dan tanggungan mereka di Kedutaan Malaysia di Pyongyang telah pulang ke tanah air pada 2017, selepas operasi kedutaan ditangguhkan.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai keselamatan kakitangan diplomatik Malaysia di Pyongyang. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan