KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 20 April sama ada membenarkan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan kerajaan mewajibkan pelajar sekolah rendah Cina dan Tamil mempelajari khat.
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam T Gunaseelan yang mewakili R Visa Letchumy, bekas presiden Persatuan Pelajar Sekolah Cina Tan Kim Sen @ Tan Boon Tak, dan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Malaysia D Ravi.
“Kami berhujah bahawa pada peringkat ini izin patut diberikan asalkan pemohon menunjukkan kes yang boleh dipertikaikan,” kata Gunaseelan kepada FMT selepas prosiding diadakan secara maya hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Peguam Negara berhujah sebaliknya kerana pemohon tiada locus standi, selain memfailkan tuntutan itu selepas tempoh had masa ditetapkan.
Tiga pemohon yang memfailkan permohonan itu pada Mei tahun lalu berkata, keputusan memperkenalkan mata pelajaran khat untuk murid tahun empat sekolah rendah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan pada Januari.
Susulan kritikan kumpulan pendidikan, kerajaan kemudian mengumumkan Jawi sebagai mata pelajaran pilihan dan tidak dikenakan ujian.
Tan, yang memfailkan afidavit menyokong permohonan untuk semakan kehakiman itu berkata, khat yang berasal dari Arab Saudi, mempunyai unsur keagamaan.
Tambahnya, golongan Muslim menggunakan khat untuk menggambarkan Tuhan kerana Islam melarang penggunaan imej.
“Khat adalah seni yang dihormati kerana ia juga cara terbaik untuk memelihara al-Quran,” katanya dalam afidavit yang dilihat oleh FMT.
Tan, yang turut merujuk kepada beberapa artikel ditulis pihak berkuasa serta pakar akademik Muslim berkata, tulisan Islamik itu akan mengelirukan orang Islam jika golongan bukan Islam dibenarkan menggunakannya, contohnya dalam poster melibatkan aktiviti keagamaan.
“Tambahan, penggunaan khat dalam perniagaan dan aktiviti yang tidak bermoral dari perspektif Islam akan mengakibatkan rasa tidak selesa untuk orang Islam,” katanya.
Tan berkata, mewajibkan pengajaran khat di sekolah vernakular turut melanggar Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.
“Mata pelajaran wajib untuk murid bukan Muslim ini satu kaedah menyemai nilai-nilai Islam, dan ibu bapa berhak menolaknya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan