Sabtu, 6 Mac 2021

Kerajaan akan manfaat lebih banyak data untuk salur bantuan, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, syarikat dalam sektor 
pelancongan merupakan antara sasaran bantuan kerana mereka masih 
belum dapat meneruskan operasi. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memanfaatkan lebih banyak data yang dikumpulkan oleh pelbagai kementerian untuk menyalurkan bantuannya kepada individu dan perniagaan yang masih terjejas oleh pandemik kesihatan yang berlarutan lebih setahun, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Kita sedang membuat perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkenaan mengenai bagaimana kita boleh bantu terutamanya di sektor-sektor yang masih terkesan dengan pandemik ini,” katanya.

Perbincangan dan data yang dikumpulkan akan digunakan untuk merangka pelbagai langkah baharu.

“Ini akan dumumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada media sewaktu pembentangan sorotan kejayaan dan pencapaian setahun kementerian itu, baru-baru ini.

Tahun lepas, kerajaan mengumumkan pelbagai langkah rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion.

Pada Januari, ia melancarkan pakej rangsangkan ekonomi kelimanya, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang merangkumi lebih 22 inisiatif.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM322.5 bilion bagi Belanjawan 2021, belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Bagaimanapun, beberapa perniagaan terutamanya yang melibatkan sektor pelancongan masih belum dapat beroperasi kerana sempadan masih belum dibuka.

“Syarikat dalam sektor pelancongan merupakan antara sasaran yang perlu dibantu kerana mereka masih belum dapat meneruskan operasi,” kata Tengku Zafrul.

Selain itu katanya, bantuan tersebut bertujuan memastikan ia menyokong proses pemulihan dalam sektor tersebut, di samping strategi lain yang melibatkan program vaksinasi.

Imunisasi adalah kunci bagi pemulihan ekonomi, tegasnya.

Dalam usaha untuk membendung penularan pandemik dan memulihkan ekonomi, kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang meraikan ulang tahun pertamanya pada 28 Feb, merangka pelan pemulihan 6R enam peringkat — Resolve (ketegasan), Resilience (ketahanan), Restart (jana semula), Recovery (pemulihan), Revitalise (memperkasas) dan Reform (menyusun semula).

Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi merangsang perniagaan tempatan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk membantu industri pelancongan.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), yang dikeluarkan setiap minggu oleh kementerian itu, sambutannya kurang memberangsangkan.

Setakat 19 Feb (daripada laporan LAKSANA ke-43), terdapat 579 permohonan bagi pembiayaan ini dan 282 permohonan diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM57.1 juta.

Mengulas mengenai perkara ini, Tengku Zafrul berkata, permohonan perlahan itu disebabkan sama ada syarikat menutup perniagaan mereka atau mengurangkan operasi, jadi mereka merasakan tidak ada gunanya untuk memohon peruntukan tersebut.

“Sebagai ahli perniagaan, mereka memberitahu kami bahawa mereka memerlukan beberapa rancangan yang akan dilakukan apabila kami membuka industry, tetapi kami belum dapat membuat perancangan lagi kerana ia bergantung kepada bilangan kes Covid-19.

“Oleh itu, jika syarikat mengendalikan perniagaan hotel, mereka tidak mahu meminjam lagi kerana tidak pasti dengan perolehan mereka kerana belum boleh memulakan semula operasi.

“Jadi mungkin sektor pelancongan perlukan pertolongan yang lain dan kami juga akan mengumumkan sesuatu untuk menyokong industri ini,” katanya.

Selain itu, menerusi kemas kini mingguan LAKSANA ke-43, beliau berkata, kerajaan akan merangka langkah tambahan dalam masa terdekat untuk menyediakan bantuan bersasar kepada kumpulan rentan.

Beliau berkata langkah tambahan itu bertujuan membantu golongan miskin serta mereka yang kehilangan pendapatan dan meningkatkan sokongan kepada perniagaan, terutamanya yang masih belum dapat beroperasi dan dalam proses membuka semula perniagaan pasca perintah kawalan pergerakan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pada Feb berkata, kerajaan akan mengumumkan strategi tambahan pada pertengahan Mac untuk membantu memulihkan ekonomi dan mengurangkan impak ekonomi akibat daripada Covid-19.

“Bulan depan saya akan umumkan satu strategi komprehensif, saya baru membincangkannya dengan menteri kewangan. Saya akan umum apkaha strategi sebenar, agar kita boleh menyelesaiakan masalah sekarang dengan pantas dan ekonomi kita akan menjadi lebih rancak.

“Tunggu sajalah, saya akan umumnya nanti, mungkin pada pertengahan Mac,” katanya baru-baru ini.

Tiada ulasan: