Rabu, 3 Mac 2021

Henti polemik siapa datang dulu di Tanah Melayu – Shamrahayu

Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab.Aziz
Prof. Dr. Shamrahayu Ab. Aziz

KUALA LUMPUR – Rakyat berbilang kaum di negara ini diminta menghentikan daripada membicarakan dan mempersoalkan siapa datang dahulu ke negeri Tanah Melayu ini.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, mereka perlu menerima hakikat semua kaum yang ada di negara ini adalah komponen warganegara.

“Kita kena berhenti cakap siapa datang dulu. Kita harus fikirkan kepentingan negara kita. Jangan lagi berpolemik orang Melayu dahulu atau masyarakat India dahulu atau kaum Cina dahulu atau masyarakat Orang Asli dahulu.

Stop! Hentikan berpolemik. Perkara ini tidak akan bawa kita ke masa hadapan yang cerah dan sampai bila kita tidak bersetuju dengan sejarah? Kita harus ke depan, bukan ke belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Muzium Diraja – Peranan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 153 yang disiarkan secara maya di Facebook Muzium Diraja Kuala Lumpur hari ini.

Moderator wacana dikendalikan Pengarah Muzium Diraja Jabatan Muzium Malaysia, Miti Fateema Sherzeella Mohd Yusoff.

Menurut Shamrahayu, jika masyarakat Malaysia tidak bersetuju dengan persoalan itu, ia akan mengundang masalah pada masa depan.

Beliau seterusnya mengajak rakyat Malaysia bersatu mengenai sejarah dan sampai bila tidak boleh bersetuju mengenainya.

Katanya, apabila seseorang itu tidak boleh menerima sejarah, ia akan mengundang kesukaran untuk mencapai masa depan yang baik.

Mengenai Tanah Rizab Melayu (TRM), beliau berkata, ketika British lagi melarang orang Melayu menjualnya kerana tanah itu lambang kepada kedaulatan negara dan imej bangsa berkenaan.

Sebab itu, kata beliau, isu TRM tidak boleh dipandang ringan oleh orang Melayu kerana jika ia hilang, maka terhapuslah kedaulatan bangsa.

“Bristih ambil berat soal ini. Sebab itu, ia diperundangkan dengan enakmen bagi menyukarkan urusan penukaran tanah.

“Lagi pun, Tanah Rizab Melayu ini adalah lambang, pokok dan tunjang kepada kedaulatan negara. Maknanya orang Melayu perlu ambil perhatian serius,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Shamrahayu, perundangan TRM itu wujud lebih awal dari tahun 1948 iaitu selepas orang Melayu menentang Malayan Union (MU).

Kata beliau, sejak itu orang Melayu bersatu hati menentangnya kerana ia merupakan gagasan yang yang menjadi kesukaran kepada bangsa itu untuk menjadi warganegara pada masa itu.

Berhubung hak masyarakat Orang Asli, kenapa tidak diletakkan dalam Perkara 153, beliau menjelaskan orang asal itu sudah mempunyai polisi sendiri di bawah Perkara 8 bawah Fasa 5.

Katanya, walaupun hak keistimewaan mereka tidak sama dengan orang Melayu tetapi kedudukan mereka telah dijelaskan dalam Perkara 8 yang menitikberatkan soal kepentingan masyarakat Orang Asli. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: