HARAKAH DAILY
TUMPAT: Sebanyak 12 keluarga yang tinggal
berhampiran tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Tumpat (MDT) yang
terbakar minggu lalu terpaksa dipindah bagi mengelakkan risiko kepada
kesihatan mereka.
Anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Wan Roslan
Wan Hamat berkata, individu terbabit kini ditempatkan di rumah
penginapan MDT Pantai Sri Tujoh.
Menurut beliau, pelbagai usaha
dilakukan termasuk solat hajat dan mengarah agensi terlibat termasuk
Jabatan Bomba dan Penyelamat, MDT dan sebagainya bertindak.
“Hari ini kita membuat program diketuai MDT menganjurkan majlis solat hajat selain kita berikhtiar dan berusaha memadamkan api di tapak pelupusan sampah.
“Sebanyak 12 keluarga kita tempatkan di Pantai Sri Tujoh. Kita juga bersyukur kerana hujan turun pagi tadi mungkin dapat memudahkan lagi kerja-kerja memadamkan api,” katanya di sini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, kerja-kerja memadamkan api bermula sejak 19 Februari lalu.
Katanya, tapak pelupusan sampah di Kampung Kok Dollah merupakan lokasi utama MDT melupuskan sampah sejak 39 tahun dahulu.
Kawasan seluas 50 ekar itu kata beliau, hanya melibatkan kebakaran 30 ekar dan 15 ekar lagi belum dapat dipadam sepenuhnya kerana api bermula daripada dalam timbunan sampah.
“Punca kebakaran belum dapat dipastikan, kalau kita tengok pun faktor cuaca panas pun memainkan peranan, begitu juga perbuatan individu yang mencari bahan buangan seperti besi.
“Bermula 1982 hingga sekarang ini pun kita berada di atas timbunan sampah setinggi 30 kaki yang mampat menghasilkan gas mudah terbakar,” katanya.
Kata beliau juga api mudah merebak daripada bawah timbunan sampah sehingga petugas terpaksa menggali timbunan sampah dengan jengkaut untuk memastikan api tidak merebak lebih besar.
Raja Arisan juga berkata, langkah itu antara kaedah yang digunakan dengan mengasingkan timbunan sampah sarap untuk mengelakkan api daripada terus merebak.
Beliau turut menjangka kerja-kerja memadam api dengan kekuatan 50 anggota pelbagai agensi termasuk Rela, Jabatan Pertahanan Awam termasuk Jabatan Amal Tumpat mengambil masa sehingga tiga minggu lagi.
“Operasi bersepadu itu tidak bekerja selama 24 jam sebaliknya hanya lapan jam kerana bertugas pada waktu malam lebih berisiko jerlus dalam sampah dan asap berbahaya.
“Api merebak dari bawah, pemadaman secara siraman air tidak sampai ke bawah, jadi terpaksa guna ekskevator untuk gali keluarkan sampai, sembur kepada punca api,” katanya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan