PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim menyifatkan cadangan dialog antara sarjana Islam dan Kristian pada akhir bulan ini berhubung penggunaan kalimah “Allah” tepat dan bijak kerana mahkamah bukannya tempat yang sentiasa sesuai untuk menyelesaikan pertikaian.
“Tawaran menteri dalam negeri untuk semua pemimpin agama berdialog berhubung isu kalimah ‘Allah’ adalah bijak dan tepat pada masanya. Malangnya, ia ditolak Majlis Gereja Malaysia (CCM),” tulisnya di Twitter.
Beliau berkata, isu penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam memerlukan penyelesaian secara muhibah dan konsensus.
Terdahulu, CCM menolak cadangan berdialog itu dengan menyifatkannya
“sangat tidak sesuai” kerana kerajaan sudah memfailkan rayuan terhadap
keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Pada 10 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Nor Bee Ariffin memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Katanya, arahan itu melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Isnin lalu, kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang penganut Kristian tidak perlu akur kepada arahan 1986, oleh itu, mereka tidak dilarang menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan dan buku agama mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan