Khamis, 18 Februari 2021

Warga emas ugut bunuh polis, ingkar SOP ditahan.

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas menggugut untuk membunuh seorang anggota pasukan itu di Taman Sri Manja, Petaling Jaya semalam.

Kejadian berlaku di sebuah restoran kira-kira jam 9.30 malam ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan dan mendapati beberapa individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila berkumpul di sebuah meja makan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ketika polis menghampiri meja terbabit, kesemua individu melarikan diri kecuali lelaki berkenaan.

"Warganegara tempatan berumur 62 tahun itu telah bertindak berani menghampiri pihak polis dan telah mengugut mahu membunuh salah seorang anggota polis tersebut.

"Suspek yang enggan bekerjasama telah bertindak agresif serta menendang salah seorang anggota polis semasa proses tangkapan dibuat," kata Nik Ezanee dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya, suspek juga berlakuan tidak senonoh dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika berada di balai polis.

Ketika ditanya apakah individu berkenaan berada dalam keadaan mabuk, Nik Ezanee berkata suspek tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah, direman selama tiga hari.

Dia disiasat di bawah Seksyen 506 dan 186 kanun keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Selain itu lelaki itu juga disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis kerana  berkelakuan tidak senonoh dan dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar arahan SOP iaitu enggan melakukan penjarakan fizikal.

Tiada ulasan: