Khamis, 18 Februari 2021

Tip berguna untuk si gadis. Jangan perasan, tak perlu pembedahan

KATA orang, “Bunga yang berkembang dan cantik itu jarang berbau wangi. Begitulah juga dengan orang yang cantik jarang yang berbudi.” Betul ke?

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, “Awak ni cantiklah”, maka menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya dan berbungalah jua hatinya. Tersipu-sipu malu dia. Ah! Siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Rasa bagaikan kaki tidak menjejak ke bumi. Tubuh terawang-awang di udara.

Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji dan kecewa bila dikeji.

Wanita yang cantik selalu ditimpa ‘perasan’ kerana sedar dirinya punya banyak kelebihan. Rasa diri seperti merak.

Tetapi, kata orang lagi, wanita cantik banyak ragamnya. Seakan seluruh dunia mahu digenggamnya. Andai ia seorang gadis, dirinya sanggup jadi tukaran dengan wang yang beribu. Bahkan ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang di dekat tetapi ditangkap lari.

Andai ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikan. Maka suamilah yang akan menjadi sasaran. Sanggup melutut dan kalah dengan belaian. Menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah langkahnya. Si isteri yang cantik rupawan, merajuk dan meragam andai kemahuan tidak tercapai. Mengugut, merajuk hendak balik kampung atau pun meminta cerai.

Pembaca sekalian…

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita, sama ada ia cantik atau tidak, bukanlah terletak wajahnya yang rupawan. Tetapi akhlaknya yang indah menjadi santunan. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, terutama bagi si isteri yang cantik, tetapi menderhaka pada suami, tidak ubah seperti bunga raya. Cantik warnanya tetapi harumnya tiada.

Sebaliknya, jika ia berakhlak mulia, maka jadilah ia seperti bunga cempaka. Cantiknya tiada, tetapi harumannya sangat memikat jiwa.

Dunia ini ialah perhiasan. Dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Jadilah seperti bunga mawar yang berduri. Dipandang cantik dihidu wangi, pabila disentuh terluka jari.

Wanita, dirimu begitu berharga. Kamu dilihat pada akhlaknya, dinilai dari kesabarannya, diperhati melalui kesetiannya, ditinjau dengan sifat keibuannya malah dibesarkan dengan solatnya.

Sesungguhnya nafsu mengatakan wanita cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan wanita cantik atas dasar kepandaiannya, manakala hati mengakui kecantikan wanita atas dasar akhlaknya.

Oleh itu sebagai wanita, peliharalah dirimu dari api neraka, kerana menurut Baginda s.a.w. kamulah yang paling ramai di dalamnya. Ingat pesan Baginda s.a.w. Apabila cukup solat kamu lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, memelihara kehormatan dan patuh dengan perintah suami, maka masuklah kamu dari mana-mana pintu di dalam syurga.

Kalau kamu faham apa yang dicatatkan ini, maka cuba fikirkan, adakah perlu untuk kamu membuat pembedahan itu dan ini, untuk mencantikkan fizikalmu?

Tiada ulasan: