Kota Bharu: Seorang pemandu lori nekad meninggalkan kenderaannya di tepi jalan dengan enjin yang masih hidup, semata-mata mengelak ditahan penguat kuasa berikutan membawa muatan berlebihan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, lori muatan tanah itu dikesan di Kampung Berangan, Tumpat dalam Op Khas Lebih Muatan, hari ini.
"Pemandunya melarikan diri dan pemeriksaan mendapati lori itu membawa muatan tanah berlebihan. Pemilik kenderaan akan dipanggil untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di pejabat JPJ di sini selepas operasi berakhir.
Hanif Yusabra berkata, operasi itu yang diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa 15 kenderaan perdagangan.
Katanya, daripada itu, lapan saman serta notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
"Operasi ini menumpu kepada kenderaan yang membawa muatan bahan binaan berlebihan dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kami sentiasa memantau pemandu agar tidak membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Bahagian Penguatkuasaannya menggunakan dron untuk membuat pemantauan dan mengumpul maklumat berkaitan pergerakan kenderaan perdagangan terutamanya lori yang membawa lebih muatan.
"Dengan penggunaan dron, ia membantu pihak kami mendapatkan maklumat dengan jelas serta terperinci tanpa disedari pesalah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan