AYER KEROH – Khabar-khabar angin yang mendakwa mayat kanak-kanak yang ditemukan dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka sudah kembung kerana meninggal dunia lebih dua hari tidak tepat.
Sebaliknya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman mendedahkan, mangsa, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek tidak selama yang digembar gemburkan itu.
“Dakwaan netizen kononnya mayat Amir sudah kembung dan sudah meninggal beberapa hari lepas adalah tidak benar.
“Masa polis sampai, mayat mangsa sudah berada di luar tong jadi kita sedang menyiasat adakah benar dakwaan bapa tiri mangsa dia mati kelemasan dalam tong tersebut.
“Memang ada beberapa kecederaan baharu dan lama mungkin kerana objek tumpul tetapi siasatan masih lagi berjalan sama ada mangsa terjatuh atau kerana disebabkan perlakuan oleh individu,” katanya di luar perkarangan Hospital Besar Ayer Keroh.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang anaknya lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.
Siasatan polis mendapati hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan.
Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat pada jam 11 pagi tadi bagi mengetahui punca kematian dan ia selepas jam 10 malam ini.
Mohd Sukri Kaman juga mendedahkan beberapa spesimen dari badan mangsa telah diambil untuk ujian lanjut.
“Kita tidak boleh beri apa-apa komen dengan lanjut terutamanya hasil siasatan kerana boleh ganggu proses perundangan nanti.
“Jenazah kita akan serahkan kepada waris yang sah, nenek mangsa esok pagi,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan