Isnin, 1 Februari 2021

Tak perlu cemas dengan kehadiran menara telekomunikasi, kata doktor

Pembinaan dua menara telekomunikasi di Sarawak dan Negeri Sembilan dihentikan 
berikutan protes penduduk.

PETALING JAYA: Doktor meredakan kerisauan mengenai pembinaan menara telekomunikasi berhampiran kawasan perumahan dengan berkata, tidak ada bukti jelas bahawa struktur tersebut menimbulkan risiko kesihatan.

Ia susulan pemberhentian pembinaan dua menara telekomunikasi di Sarawak dan Negeri Sembilan berikutan protes daripada penduduk, dengan alasan kebimbangan radiasi dan bahaya terhadap kesihatan.

Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) tidak ada kajian yang menunjukkan bukti jelas dan konklusif bahawa radiasi elektromagnetik yang digunakan dalam rangkaian telekomunikasi 4G dan 5G boleh menyebabkan barah atau kesan kesihatan utama lain.

“Ujian tahap pancaran frekuensi radio yang dilakukan oleh Agensi Nuklear Malaysia di seluruh negara juga mendapati tahap radiasi di kawasan berdekatan pemancar sangat rendah dan pada tahap yang selamat,” kata presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy kepada FMT.

Dr Subramaniam Muniandy.

Malaysian Medics International berkata, penduduk boleh terdedah kepada lebih banyak radiasi daripada kediaman mereka sendiri berbanding menara telekomunikasi, selain menambah, struktur tersebut hanyalah salah satu sumber lain pencemaran elektromagnetik.

Pengerusinya, Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam berkata, pencemaran elektromagnetik ada di sekitar kita, datangnya daripada peranti sehari-hari seperti telefon, komputer, televisyen, kereta dan peralatan elektrik.

“Kesan pendedahan kepada radiasi statik dan berfrekuensi rendah diteliti dalam banyak kajian, tetapi terdapat percanggahan dalam penemuan tersebut.

“Dalam kajian ilmiah, penemuan harus dapat direplikasi, tetapi terdapat banyak variasi dalam kajian yang dilakukan mengenai hal ini.

“Sangat sukar untuk mengkaji kesan dos rendah di persekitaran kita kerana terdapat banyak sumber yang memancarkannya.

Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam.

“Kesan kumulatif menjadikannya sukar untuk kita menunjukkan sumber mana yang lebih berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan teknologi yang hebat tidak datang percuma, manakala pencemaran elektromagnetik serupa dengan pencemaran lain kerana kesannya lebih ketara apabila terkumpul.

“Tiada kajian yang menyediakan bukti langsung mengenai bahaya menara telekomunikasi terhadap kesihatan.

“Namun, kemungkinan bahaya diandaikan berdasarkan teori saintifik.

“Menara tapak hanyalah satu daripada sumber pencemaran elektromagnetik. Ia bukan penyumbang tunggal, tetapi ia berperanan dalam pencemaran elektromagnetik,” katanya.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, radiasi daripada mana-mana sumber berkurang dua kali berdasarkan pertambahan jarak, sekali gus menegaskan bahawa radiasi menara telekomunikasi ke atas kesihatan tidak dapat dibuktikan.

Dr Lee Boon Chye.

Namun katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyediakan garis panduan pembinaan menara ini, dengan mengambil kira jarak dari kediaman untuk memastikan radiasinya tidak mengatasi radiasi persekitaran.

“Kita selalu terdedah kepada radiasi dan kesannya bersifat kumulatif. Radiasi yang biasa kita hadapi adalah radiasi persekitaran, seperti sinaran matahari atau telefon bimbit, dan jumlahnya adalah minimum.

“Jarak 30m cukup selamat dengan syarat, menara tidak lebih tinggi daripada 30m, atas sebab yang jelas, seperti sekiranya menara runtuh.

“Selain itu, semua pembinaan menara telekomunikasi memerlukan kelulusan awal daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Tiada ulasan: