IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menzahirkan penghargaan kepada seorang guru yang sukarela membersihkan Sungai Balun di Slim River.
Sultan Nazrin bertitah, usaha guru Sekolah Kebangsaan FELDA Besout 1, Slim River, Ismail Mohd Zain, 40, membersihkan sampah sarap terperangkap di sungai itu membantu pengaliran airnya dan dapat menghindari banjir.
Selain itu, baginda bertitah, inisiatif Ismail berkenaan membantu memelihara habitat untuk pelbagai spesies hidupan air terus membiak, sekali gus menjadi sumber rezeki nelayan darat.
"Beta menzahirkan penghargaan atas sifat amat terpuji yang telah saudara Beta pamerkan," titah baginda dalam warkah berkenaan yang dikongsikan dengan media, hari ini.
Sultan Perak bertitah, sebagai guru, Ismail menunjukkan teladan kepimpinan baik kepada profesion keguruan, dan wajar dicontohi warga pendidik serta pelajar di negara ini.
"Semoga Allah SWT menerima usaha murni dilakukan sebagai amal makruf yang dilimpahi ganjaran dunia dan akhirat," titah baginda.
Sebelum ini, BH melaporkan kisah Ismail yang sanggup bergelumang lumpur, selut dan lintah seorang diri demi membersihkan sampah terperangkap di Sungai Balun.
Berita berkaitan- Cikgu bantu bersihkan rumpair Sungai Balun
Tiada ulasan:
Catat Ulasan