Rabu, 10 Februari 2021

Simpan rokok seludup bersama sayur, ikan

 Siti Rohana Idris

Anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Kelantan merampas sejumlah rokok sebanyak 48,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM8,488.00 yang disorok bersama timbunan sayur sebelum disimpan dalam stor barang disebuah gerai dalam serbuan di Pasar Siti Khadijah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kota Bharu: Peniaga di Pasar Siti Khadijah di sini, dikesan menyembunyikan rokok seludup dalam timbunan sayur, buah dan ikan di stor penyimpanan barang di gerai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu gagal selepas sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat serbuan, semalam dan menemui 48,000 batang rokok bernilai RM8,488 dan dengan cukai RM34,086.40.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, serbuan dibuat hasil risikan dan maklumat awam, yang mana rokok berkenaan diletakkan bersama pelbagai barangan lain.

"Semua rokok dicampur dengan sayur, ikan dan buah untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa.

"Kita percaya rokok dibawa masuk secara haram melalui sempadan Sungai Golok dan pesisir pantai negeri ini untuk pasaran tempatan.

"Kami sedang menyiasat pemilik gerai berkenaan bagi mengenal pasti mereka (sindiket) yang terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya bekerjasama membanteras penyeludupan dengan menyalur maklumat kepada talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM terdekat.

Tiada ulasan: