Isnin, 15 Februari 2021

RUU gangguan seksual siap Mac ini - Rina

 BH ONLINE

Datuk Seri Rina Mohd Harun. FOTO NSTP
Datuk Seri Rina Mohd Harun. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Rang undang-undang (RUU) berkaitan gangguan seksual dijangka siap Mac ini dan dijangka akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, draf rang undang-undang itu, kini pada peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Penguam Negara.

"Draf hantar ke AGC (Jabatan Penguam Negara) untuk menilai jika ada pindaan kecil. Bersidang saja parlimen nanti, kita akan bentangkan.

"Dalam masa sama, usaha kesedaran dan pendidikan mengenai gangguan seksual terus digerakkan semua agensi di bawah kementerian ini," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat rujukan khidmat sosial golongan gelandangan, Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu, malam ini.

Rina turut memberi jaminan RUU itu akan bersifat holistik dalam membendung isu berkaitan gangguan seksual yang tidak terhad terhadap gangguan di tempat kerja semata-mata.

Beliau berkata mengulas desakan beberapa pihak termasuk bekas menteri kementerian itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mempercepatkan pembentangan rang undang-undang itu.

Desakan itu berikutan terdapat dakwaan insiden gangguan seksual baru-baru ini membabitkan anggota polis.

Persidangan Parlimen yang sepatutnya bermula bulan hadapan, ditangguhkan susulan pengisytiharaan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari sehingga 1 Ogos ini. - BERNAMA

Tiada ulasan: