Rabu, 10 Februari 2021

Remaja lelaki melecur, rumah terbakar

Oleh NORADILA MAHAMAD
RUMAH Mohd. Johan Sidek hangus 100 peratus dalam kebakaran di Kampung Merbau Patah di Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun melecur di bahu dan lengan ketika lari menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Merbau Patah, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Bapa mangsa, Mohd. Johan Sidek, 49, berkata, anak keempatnya, Muhammad Adli terkena percikan api ketika kesemua mereka bergegas keluar dari rumah selepas terhidu bau asap.

Katanya, ketika kejadian beberapa ahli keluarganya tidur di ruang tamu kerana keletihan pulang berniaga di Pasar Borong Gong Pauh di sini.

“Semua terlena kecuali anak bongsu dan jeritannya menyelamatkan kami lalu segera keluar dari rumah.

“Waktu itu api sudah marak hingga ke bumbung rumah dan merebak dengan pantas hingga saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk kereta, barang kemas serta duit hasil jualan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Mohd. Johan, mereka 14 beranak termasuk menantu dan cucu berusia dua bulan kini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman yang disewa sejak lapan tahun lalu musnah 100 peratus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, pihaknya dengan kekuatan 30 anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.18 petang.

Katanya, kebakaran melibatkan dua rumah dengan masing-masing terbakar 100 peratus dan 20 peratus. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: