Khamis, 18 Februari 2021

Rasuah: SPRM tahan CEO, pengarah restoran Cina

fazleensafina 

CEO arah setiap kontraktor bayar 15 peratus daripada harga kontrak

 Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman pada Khamis. -Gambar Sinar Harian

PUTRAJAYA – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah syarikat rangkaian restoran Cina terkenal di Malaysia ditahan selepas dipercayai menerima rasuah daripada kontraktor yang melaksanakan pengubahsuaian restoran terbabit.

Kedua-dua suspek berusia 60 tahun dan 37 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lewat petang semalam di sekitar ibu negara.

CEO berkenaan adalah rakyat Hong Kong dan mempunyai taraf pemastautin tetap Singapura.

Sumber memberitahu bahawa dalam proses melantik kontraktor bagi projek mengubahsuai enam buah restoran di beberapa negeri, CEO terbabit telah mengarahkan setiap kontraktor memberi komisen sebanyak 15 peratus daripada harga kontrak.

“Semua pembayaran itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun syarikat lain milik seorang pengarah syarikat yang turut ditahan SPRM,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama lima hari bermula Khamis sehingga Isnin depan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan itu dan siasatan dilakukan di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tiada ulasan: