Kuala Lumpur: Pengisian program DidikTV KPM membantu pelajar mengulang kaji pelajaran dengan lebih mudah dan lengkap kerana rakaman program turut disiarkan menerusi YouTube.
Baik pelajar mahu pun guru, pilihan untuk menonton di televisyen dan diulang menerusi peranti dianggap dapat meningkatkan kefahaman, terutama dalam subjek yang agak rumit atau memerlukan masa difahami.
Di Jertih, saluran DidikTV KPM memberi ruang belajar tambahan bagi pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Besut, Nur Adriana Rosdan, 16, yang tidak bimbang jika berlaku pertembungan masa antara program di saluran ntv7 itu dengan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bersama guru dan rakan.
"Jika terlepas sesuatu segmen atau subjek di televisyen, saya boleh menonton semula semua rakaman di saluran YouTube.
"Kadang-kadang ada topik dibincangkan menerusi PdPR yang memerlukan pencerahan yang lebih mendalam dan DidikTV KPM dapat membantu kami memahami sesuatu subjek secara lebih kreatif dan mudah dengan penggunaan audio serta visual menarik.
"Sebagai pelajar, saya dapat melihat perbezaan dan tambah nilai proses pembelajaran kerana bimbingan secara langsung daripada guru melengkapi apa yang ditonton menerusi DidikTV KPM," katanya ketika ditemui di Kampung Raja, Besut di sini.
Adiknya, Darwisy Iman Rosdan, 10, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Kampung Raja berkata, DidikTV KPM memudahkannya mengulang kaji bersama keluarga.
"Jika masih tidak faham, saya boleh minta bantuan kakak atau ibu untuk sama-sama menonton subjek yang diajar di DidikTV KPM dan mereka terangkan semula kepada saya.
"Belajar TV lebih mudah ditonton bersama keluarga dan tidak perlu berkongsi gajet seperti telefon untuk menonton DidikTV," katanya.
Di Tanjung Malim, guru SK FELDA Sungai Behrang, Kamarul Azri Awang, 42, berkata saluran DidikTV KPM adalah berita gembira bagi golongan pendidik yang melihatnya sebagai medium PdPR dalam suasana lebih santai, tetapi padat dengan pengiasan.
"Murid belajar dalam suasana lebih kondusif di hadapan televisyen tanpa perlu melihat peranti yang kecil yang ada masanya berdepan gangguan capaian internet.
"Dengan DidikTV KPM, mereka hanya perlu meneliti jadual harian dan bersedia sebelum menonton supaya lebih memahami apa yang diajar, manakala guru juga boleh menimba ilmu dari segi penyampaian kandungan," katanya.
Di Ipoh, pembelajaran secara menonton DidikTV KPM didapati meningkatkan tumpuan murid, selain memudahkan akses secara keseluruhan bagi melancarkan PdPR.
Bapa, Mohd Aznizam Azahar, 35, berkata medium itu turut membolehkan ibu bapa memantau perkembangan anak mereka, selain memastikan mereka tidak terlepas subjek berdasarkan jadual disediakan.
"Ibu bapa yang bekerja boleh mengingatkan anak mengenai subjek masing-masing atau mencari kembali program menerusi YouTube jika bertembung dengan sesi pengajian dalam talian.
"Bagi saya, DidikTV KPM banyak membantu pelajar dan dapat mengelak daripada berlaku keciciran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan