KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu 900 mangsa banjir di tiga negeri.
Ia dilaksanakan menerusi misi bantuan kemanusiaan pasca banjir bagi menghantar sumbangan barangan keperluan rumah kepada mangsa bencana di Temerloh, Pahang; Kemaman, Terengganu dan Johor Bahru, Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff, berkata antara barangan yang disumbangkan termasuk tilam, selimut, dapur gas, periuk nasi, kipas meja dan pengisar, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM400,000.
Daripada jumlah itu, katanya, SSM menyumbangkan RM350,000, manakala baki RM50,000 disumbangkan oleh Darussalam Group of Company.
"SSM adalah pembayar zakat PPZ dan sebahagian bayaran zakat itu dipulangkan menerusi konsep wakalah zakat, iaitu wang bantuan diagihkan bukan saja dalam Kuala Lumpur, malah di luar ibu negara.
"Ini adalah sebahagian komitmen PPZ-MAIWP untuk membantu mangsa banjir bersama syarikat korporat yang menjadi pembayar zakat kami.
"Semua 10 barangan keperluan yang disumbangkan hari ini juga diputuskan selepas mendapat nasihat majlis agama Islam negeri berkenaan, kerana kita tak mahu berlaku pembaziran jika menghantar barang yang sudah diperoleh mangsa banjir," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perlepasan Misi Pasca Banjir Khaira PPZ dan SSM 2021 di Wisma PPZ di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Shukri berharap, bantuan pasca banjir itu diharap membuka mata masyarakat bahawa agensi zakat memainkan peranan dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
"Semoga dengan usaha ini dapat membuka mata masyarakat bahawa sebenarnya, agensi zakat dan syarikat berkaitan kerajaan bukan saja bekerja dalam pejabat, tetapi ada jiwa untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan