Ahad, 14 Februari 2021

Polis kenal pasti anggota terlibat kes gangguan seksual di sekatan jalan

Malaysiakini

Pihak polis telah mengenal pasti anggotanya yang didakwa menggangu dua pemandu wanita yang berhenti di sekatan jalan berbeza.

Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (Jips) Bukit Aman, Zamri Yahya berkata, siasatan berterusan berhubung isu kelakuan dan pematuhan prosedur semasa bertugas melibatkan pasukan Jips Kuala Lumpur dan Bukit Aman.

“Jips telah mengambil keterangan dari pengadu wanita tersebut bagi mendapatkan maklumat jelas mengenai anggota-anggota polis terbabit yang didakwa menganggu mereka serta bukti-bukti berkaitan jika ada.

“Ia termasuk pengecaman. Anggota polis yang terlibat dan sekiranya ada rakaman komunikasi di antara anggota terbabit dengan mereka.

“Anggota-anggota terbabit juga telah dikenal pasti dan mereka telah beri kenyataan, mendapatkan keterangan atau pengakuan dari mereka berhubung tuduhan ke atas mereka,” kata Zamri kepada Malaysiakini.

Semalam, dua wanita terbabit menciap di Twitter, mendakwa diganggu ketika diminta berhenti di sekatan jalan yang diadakan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam kedua-dua kes, wanita terbabit mendakwa pegawai polis yang bertugas di sekatan jalan raya telah meminta nombor telefon mereka.

Salah satunya berkata, dia telah menerima mesej yang kurang selesa, manakala seorang lagi didakwa diganggu secara seksual.

Sementara itu, Zamri menambah, pihak polis juga sedang mencari saksi yang dapat tampil memberi kenyataan bagi mengesahkan dakwaan terbabit.

Tambahnya, Jips akan melihat prosedur menyeluruh dan arahan yang dikeluarkan untuk pegawai polis yang bertugas di sekatan jalan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Superintenden Siti Kamsiah Hassan turut meminta pihak yang mempunyai pengalaman sama, tampil membuat aduan.

“Eloklah buat report sebagai pengajaran kepada yang lain jika benar ada salah laku.

“Ini supaya tiada yang ambil mudah tentang peraturan dan tatacara berkomunikasi dan perlu bijak dan sensitif walaupun bertujuan baik untuk menegur (kepada pemandu yang berhenti di sekatan jalan),” katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa sama, Kamsiah berkata, siasatan yang dijalankan harus memastikan tiada pihak yang teraniaya, baik pihak berkuasa atau orang awam. 

Tiada ulasan: