Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU: Polis memburu dua suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di Jalan Dedaru, Taman Cahaya, Kota Puteri Masai, kelmarin selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kini tersebar.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaumi Ishak berkata, kejadian tersebut disedari mangsa ketika pulang ke rumah kira-kira pukul 8 pagi, Isnin lalu.
Katanya, warga emas lelaki berusia 68 tahun itu terkejut apabila mendapati keadaan rumah berselerak dan terdapat barang hilang.
“Pada awalnya, pengadu tidak tampil membuat laporan polis kerana mengalami kerugian kecil. Bagaimanapun, anak pengadu telah memuat naik video CCTV di media sosial sebelum tular dan mendapat perhatian warganet yang lain.
“Pemeriksaan CCTV telah mendapati suspek terlibat terdiri daripada dua lelaki tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, tular beberapa rakaman CCTV yang menunjukkan dua lelaki mencecah masuk rumah mangsa kira-kira pukul 4.20 pagi.
Turut dimuat naik beberapa keping tangkap layar dua penjenayah berkenaan ketika berada di luar rumah, memanjat pagar rumah serta menggeladah rumah berkenaan mencari barangan berharga.
Mohd. Sohaumi memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.
“Orang ramai diminta melaporkan kepada pihak polis sebarang kejadian jenayah yang berlaku dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Saddam Mohd. Ibrahim di talian 016-341 1001 atau 07-3864222,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan