Wujud kelompongan perkhidmatan atau aplikasi atas talian sendiri bukan kesalahan?
BANGI – Undang-undang sedia ada perlu dikemas kini sebagai langkah pencegahan supaya aktiviti perkhidmatan temu janji atau percintaan dalam talian, Sugarbook dapat dibendung.
Ini kerana, kelompongan undang-undang dapat dilihat menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyatakan bahawa perkhidmatan atau aplikasi atas talian sendiri bukanlah suatu kesalahan.
Maka, tidak hairanlah pengasasnya, Darren Chan berani mengatakan bahawa ‘sugar baby’ bukan pekerja seks yang menyalahi undang-undang, menurut Unit Kajian dan Informasi Persatuan Beliau Islam Nasional (PEMBINA), Khidir Institute.
“Jika kita melihat dalam konteks Kanun Keseksaan, Seksyen 372 hanya melarang aktiviti pelacuran tanpa menekankan isu perkhidmatan pasangan yang menawarkan hubungan seks antara pasangan.
“Bagaimanapun, kesalahan membenarkan kandungan yang tidak sesuai boleh didakwa di atas akta ini,” katanya.
Berdasarkan fakta itu, Khidir Institute berkata, masyarakat boleh mendakwa kandungan yang ada di dalam laman web Sugarbook sebagai kandungan tidak sesuai, tetapi tidak boleh mendakwa pengasasnya melakukan kesalahan atas nama laman web berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.
Aplikasi berkenaan didakwa menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.
Lebih mengejutkan ramai pihak apabila Sugarbook melaporkan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu, atas alasan kononnya krisis kewangan yang dialami.
Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.
Susulan
pendedahan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah
mengambil tindakan menyekat akses ke laman sesawang Sugarbook.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan