GEORGETOWN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu memberi tamparan hebat buat peniaga pasar malam apabila ada dalam kalangan mereka sudah gulung tikar dan menjual peralatan dapur.
Tindakan itu disebabkan mereka tidak mampu lagi berdepan masalah hutang bank termasuk menampung kehidupan keluarga berikutan arahan penutupan operasi pasar malam akibat PKP yang kini disambung dua minggu lagi.
Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Pasar Malam Pulau Pinang, Abd. Razak Mansor berkata, pelbagai rungutan dan luahan disampaikan lebih 3,000 peniaga pasar malam berhubung nasib yang dialami mereka ketika ini.
“Ramai mengadu tidak sanggup berdepan masalah kewangan yang teruk dan merayu dibenarkan semula operasi pasar malam seperti sedia kala biarpun dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.
“Bukan setakat itu, ada dalam kalangan peniaga kini terpaksa membuat keputusan ‘bungkus’ dan menjual semua peralatan serta perkakasan dapur demi mendapatkan wang perbelanjaan harian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Abd. Razak yang juga peniaga nasi ayam memberitahu, mereka kini dalam proses perbincangan dengan penganjur pasar malam untuk membenarkan semula operasi perniagaan itu berikutan permasalahan serta nasib yang menimpa golongan peniaga terbabit.
“Kami dimaklumkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ada mencadangkan tentang masa operasi pasar malam iaitu dari pukul 2 petang hingga 7 malam selain meminta penganjur mencadangkan lokasi lain yang bersesuaian.
“Sekiranya benar, ia sememangnya memberi impak kepada semua peniaga yang sebelum ini ditempatkan mengikut tapak gerai masing-masing dan kali ini terpaksa disusun semula,” ujar-nya.
Katanya, peniaga pasar malam merayu kerajaan negeri dapat mempertimbang semula cadangan waktu operasi pasar malam iaitu bermula dari pukul 4 petang hingga 10 malam serta mengekalkan lokasi sedia ada. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan