KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan permohonan supaya aktiviti ‘dine-in’ atau makan dalam kawasan premis menjual makanan dibenarkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Timbalan Menterinya Rosol Wahid berkata permohonan itu akan dikemukakan kepada Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.
Beliau berkata permohonan itu dibuat bagi membela kebajikan bukan sahaja pengusaha premis makanan dan peniaga trak makanan, malah pekerja, pembekal dan pemborong bahan makanan serta sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri makanan.
“Bagi setiap premis yang dibenarkan ‘dine-in’, ia dapat membantu memulihkan ekonomi dan kehidupan sekurang-kurangnya lima individu yang terlibat dalam rantaian pembekal barangan dan bahan mentah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau jualan kedai runcit bergerak ‘Prihatin Mart’ di Dataran Kampung Langgar.
Beliau berkata rata-rata pemilik premis dan trak makanan yang mengadu nasib mereka kepada KPDNHEP berjanji akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN sekiranya aktiviti itu dibenarkan.
Sementara itu, Rosol berkata KPDNHEP juga akan memohon supaya premis menjual pakaian dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini demi memastikan kelangsungan hidup peniaga dan pekerja terutama di musim perayaan Tahun Baharu Cina, dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut beberapa bulan lagi.
“Kita tahu sekarang ini kita dalam dilema antara ekonomi dan kesihatan. Lagipun kluster baharu banyak berlaku di kawasan tapak pembinaan. Kawasan perniagaan seperti restoran dan kedai makan, pasar malam dan premis jual pakaian tiada lagi kluster jadi kita harap MKN dapat pertimbangkan.
“Ini rintihan rakyat dari akar umbi yang terkesan dengan Covid-19,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan