Ahad, 14 Februari 2021

Pemuda hilang ketika keluar beli roti canai

Oleh Azman Bin Ibrahim dan ISKANDAR SHAH MOHAMED
MA'AYOB (kanan) dan Jalaludin menunjukkan laporan polis serta gambar Muhammad Syukur yang hilang di Kampung Tambak Jawa, Jeram, Kuala Selangor, Selangor. UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED

KUALA SELANGOR: Seorang bapa buntu apabila anak lelakinya dilaporkan hilang selepas keluar membeli roti canai di Kampung Tambak Jawa, Jeram di sini, sejak Isnin lalu.

Muhammad Syukur Ma’ayob, 27, dipercayai hilang selepas dilihat kali terakhir keluar berjalan kaki membeli roti canai kira-kira pukul 6.30 pagi.

MUHAMMAD SYUKUR

Anak bongsu daripada enam beradik itu keluar dari rumah keluarganya di kampung berkenaan dalam keadaan hanya sehelai sepinggang,

Bapanya, Ma’ayob Samuri, 84, berkata, anaknya yang mempunyai masalah kesihatan mental dan bekerja di sebuah kilang alat ganti kenderaan itu meminta izin keluar untuk membeli roti canai.

“Namun, saya berasa pelik apabila dia (Muhammad Syukur) yang memakai baju kerjanya berwarna biru itu masih tidak pulang sehingga lewat malam.

“Kami sekeluarga kemudian bertanyakan kepada penduduk kampung dan saudara mara namun masih menemui jalan buntu,” katanya ketika ditemui di kediamannya petang tadi.

Bimbang akan keselamatan Muhammad Syukur yang masih hilang selama beberapa hari, keluarganya tampil membuat laporan di Balai Polis Jeram, kelmarin.

Menurut Ma’ayob, tiada sebarang perselisihan faham berlaku antara anaknya itu sebelum ini, namun anaknya itu mendiamkan diri selepas kematian seorang abangnya akibat jangkitan kuman pada Oktober 2019.

“Pada bulan lalu, dia turut pernah menghilangkan diri selama tiga hari namun ditemui sedang berjalan kaki di sekitar Jeram.

“Isteri saya, Jaliah Margono, 64, amat bimbang keselamatan Muhammad Syukur yang masih gagal dikesan sehingga kini. Selain itu, dia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tanjong Karang pada 17 Februari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut kes orang hilang.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Muhammad Syukur diminta menghubungi abangnya, Jalaludin, 36, di talian 011-63378667/019-2526328 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, berita kehilangan Muhammad Syukur tular selepas keluarganya membuat hebahan melalui media sosial meminta orang ramai membantu mencari pemuda tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: