Apa jaminan mutasi dari Indonesia tidak tersebar ke Malaysia
BANGI – “Makin pelik. Dua negara yang mencatatkan kes harian tertinggi di Asia Tenggara melaksanakan gelembung perjalanan.
“Mungkin ini sebahagian dari keputusan alang-alang. Alang-alang kes dah tinggi, baik buka sempadan kita kepada negara yang punya kes lagi tinggi.
“Bagaimanapun, yang akan mengambil peluang dari gelembung perjalanan ini, SOP dan kawalan kendiri perlu kuat. Sentiasa di dalam mod siap siaga.”
Demikian ulasan ringkas Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Arifin Manan di Facebook mengenai kesepakatan yang dicapai Malaysia dan Indonesia berhubung Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik/ Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA).
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia merupakan satu berita baik kerana beliau berjaya mendapatkan persetujuan untuk membenarkan gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ antara dua negara.
Beliau berkata, ‘travel bubble’ adalah salah satu pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan yang telah dirangka kerajaan sejak Julai tahun lalu sebagai langkah untuk merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara.
Namun keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung perkara itu dipersoalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, kebiasaannya pelaksanaan RGL hanya melibatkan negara yang berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19.
“Sebab itu, Singapura gantung perjanjian RGL dengan kita bulan lepas setelah penularan COVID-19 melonjak naik di Malaysia.
“Sebab itu juga, Brunei tidak layan permintaan kita untuk wujudkan RGL dengan kita apabila melihat penularan COVID-19 di Malaysia tidak terkawal,” katanya.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mempersoalkan bagaimana Indonesia boleh dikategorikan sebagai negara yang berjaya mengawal wabak berkenaan.
“Adakah Indonesia (176,433 kes aktif, 12,156 kes baru dan 191 kematian pada Sabtu) boleh dikategorikan sebagai negara yang telah berjaya kawal COVID-19?
“Apakah jaminan bahawa mutasi baru dari negara tersebut tidak akan menular ke Malaysia melalui RGL ini memandangkan negara itu merupakan sumber asal mutasi COVID-19 pertama yang menular dengan 10 kali lebih laju dan mencetus gelombang ketiga Malaysia tahun lepas?,” soalnya.
Terdahulu, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi).
Antara isu yang dibangkitkan dalam
pertemuan empat mata itu ialah pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan
RGL, diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani COVID-19
serta pergolakan politik semasa di Myanmar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan