Bernama
Farihah
Che Husin berkata sebagai contoh, dianggarkan terdapat
kira-kira 6,000
nelayan di Terengganu dan masih ramai dalam kalangan
mereka yang belum
mencarum. - Bernama
KUALA TERENGGANU:
Kesedaran mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja
(Perkeso) dalam kalangan individu yang bekerja sendiri di Terengganu
masih di tahap sederhana.
Pengarah
Perkeso Terengganu Farihah Che Husin berkata setakat tahun lepas, hanya
3,924 individu bekerja sendiri dari pelbagai sektor telah mencarum di
bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso dan
pihaknya menggangarkan terdapat kira-kira 25,000 individu yang bekerja
sendiri di negeri itu.
"Apatah
lagi dengan penularan pandemik COVID-19, ramai yang diberhentikan kerja
dan terpaksa bekerja sendiri seperti menjadi penghantar makanan.
"Jadi
kita harap mereka segera mencarum supaya mempunyai perlindungan
sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka
bekerja," katanya kepada pemberita pada Program Pendaftaran Skim
Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung kepada pekerja perkhidmatan
penghantaran, berkonsepkan pandu lalu di Wisma Perkeso di sini hari ini .
Beliau
berkata sebagai contoh, dianggarkan terdapat kira-kira 6,000 nelayan di
Terengganu dan masih ramai dalam kalangan mereka yang belum mencarum.
Katanya,
Perkeso kini mempergiat aktiviti menggalakkan individu yang bekerja
sendiri mencarum di bawah SKSPS dengan melibatkan kerjasama pelbagai
pihak termasuk kerajaan negeri dan menyasarkan 6,000 orang daripada
golongan itu di Terengganu berbuat demikian pada tahun ini.
Farihah
juga berkata program pendaftaran SPS Lindung secara pandu lalu itu
adalah untuk memberi peluang kepada pekerja sektor khidmat penghantaran
sama ada yang menggunakan motosikal, basikal atau berjalan kaki
mendapatkan perlindungan secara percuma.
Beliau
berkata di bawah program itu, kerajaan menyediakan caruman penuh untuk
pekerja khidmat penghantaran selama setahun menerusi Pelan 2 SKSPS
sebagai perlindungan terhadap bencana pekerjaan.
"Dianggarkan terdapat lebih 1,000 pekerja khidmat penghantaran termasuk pembeli-belah peribadi di negeri ini.
"Pada
program hari ini, dijangka lebih 400 pekerja yang mendaftar. Kita
harapkan lebih ramai lagi yang akan mendaftar dengan pendaftaran dibuka
bermula 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini dan ia terbuka sama ada kepada
mereka yang bekerja sendiri atau menggunakan platform aplikasi pembekal
(seperti Foodpanda)," katanya.
Farihah
berkata antara faedah yang akan diterima ialah kemudahan perubatan
percuma di mana-mana kilnik panel Perkeso atau hospital kerajaan, faedah
Hilang Upaya Sementara dengan bayaran sebanyak RM41.33 sehari iaitu 80
peratus daripada pendapatan bulanan yang diinsurans mengikut pelan
caruman.
Sementara itu, seorang
penghantar makanan Khasfi Rosli, 21, berkata beliau mempunyai kesedaran
untuk mendaftar SPS Lindung setelah ditimpa kemalangan pada Jumaat lepas
di Jalan Budiman di sini ketika dalam perjalanan mengambil makanan
untuk dihantar kepada pelanggan, yang menyebabkan tulang belakangnya
patah.
"Saya baru sahaja menjadi penghantar makanan kira-kira sebulan yang lepas namun kini tidak dapat bekerja pula.
"Sejak
kemalangan itu, saya baru terfikir betapa pentingnya kami dalam
kalangan penghantar makanan mempunyai caruman dengan Perkeso apatah lagi
di bawah SPS Lindung yang menawarkan caruman secara percuma," katanya
yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan