Isnin, 22 Februari 2021

Lelaki mati dalam kereta dipercayai akibat terhidu asap – Polis

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang ditemukan di dalam keadaan bersandar di tempat duduk pemandu sebuah kereta di Taman Impian Jaya, di sini pukul 9.30 malam tadi dipercayai mati akibat terhidu asap kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, semasa ditemukan, mangsa yang ketika itu berbaju kelabu dan berseluar pendek didapati sudah meninggal dunia.

Katanya, siasatan awal polis mendapati tiada perlakuan jenayah bersabit kematian mangsa berusia 31 tahun itu.

“Unit forensik dari IPK (Ibu pejabat Polis Kontinjen) Pulau Pinang hadir ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan semalam.

“Mereka mengambil ‘swab’ peluh (DNA), pelitup muka, botol air minuman, penyala api dan satu bekas mengandungi bahan bakar disyaki arang yang digunakan si mati dalam kejadian ini untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ujar Shafee, mayat lelaki tersebut dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat kira-kira pukul 9 pagi tadi kemudian mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kematian dipercayai berpunca daripada ‘smoke inhalation’ atau terhidu asap,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: