PETALING JAYA: Kilang pemprosesan ayam di Serkam, Jasin diarah tutup selepas 604 pekerjanya disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan sejak awal bulan ini.
Dipetik Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Adham Baba berkata, 1,817 pekerja telah disaring melibatkan 443 pekerja tempatan manakala baki 1,428 pekerja pula terdiri daripada warga asing, manakala yang bergejala telah dihantar ke pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor.
“Sejak 1 Februari lalu, pihak majikan telah melaksanakan ujian calitan secara berperingkat melibatkan pekerja tempatan dan warga asing yang bekerja di kilang pemprosesan ayam.
“Setakat ini seramai 604 telah didapati positif Covid-19 dan telah dihantar ke PKRC Maeps, manakala sebahagian yang tidak bergejala telah ditempatkan oleh Pejabat Kesihatan Jasin di kuarters asrama yang dimiliki dan dibiayai pihak majikan,” katanya.
Adham berkata, penularan berpunca apabila seorang pekerja di bahagian pemprosesan yang bergejala, namun tidak mendapatkan rawatan lanjut serta tidak mengamalkan penjarakan yang ditetapkan sehingga mencetuskan Kluster Industri Serkam.
“Seramai 154 penduduk setempat telah disahkan negatif, namun dikesan mempunyai kontak rapat dan diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing dengan dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 Kesang Tua dan Parit Gantung, Jasin,” jelasnya.
Difahamkan, kilang ayam tersebut turut didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk tidak mengamalkan penjarakan sosial dan menempatkan pekerja dalam keadaan sesak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan