Bernama
Zamri
berkata pihaknya menerima dua laporan polis iaitu laporan pertama
dibuat oleh seorang anggota polis, manakala laporan kedua dibuat oleh
mangsa rogol. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Sebelas pegawai kanan dan rendah polis akan dikenakan tindakan
tatatertib berikutan laporan kes rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri,
Sarawak, Januari lepas, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan
Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya.
Beliau berkata kesemua mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati gagal serta cuai menjalankan tugas.
“Tindakan tatatertib ini akan diambil oleh JIPS (diturunkan pangkat atau dibuang kerja),” katanya dalam kenyataan semalam.
Zamri
berkata pihaknya menerima dua laporan polis iaitu laporan pertama
dibuat oleh seorang anggota polis yang melibatkan kejadian rogol,
manakala laporan kedua dibuat oleh mangsa rogol yang mendakwa kejadian
itu berpunca daripada kecuaian polis.
“Kedua-dua kertas siasatan yang dibuka telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan dituduh,” katanya.
Zamri
berkata seorang lelaki berumur 19 tahun dituduh di bawah Seksyen 376
Kanun Keseksaan pada 12 Jan, manakala bagi laporan kedua pula, kedua-dua
anggota polis yang bertugas menjaga lokap itu ditahan kerja bermula 14
Jan dan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 pada 9
Feb.
“JIPS telah menjalankan siasatan tatatertib bagi menyiasat kecuaian dan salah laku dalam kejadian itu,” katanya.
Pada
Januari lepas, Senator Alan Ling Sie Kiong menerusi hantaran di akaun
Facebook milik beliau mendedahkan satu laporan dibuat oleh seorang
remaja perempuan di Balai Polis Pusat Miri mendakwa dirinya dirogol oleh
tahanan lain semasa berada di lokap balai berkenaan.
Sementara
itu Zamri berkata JIPS memandang serius beberapa dakwaan kejadian
gangguan seksual melibatkan petugas sekatan jalan raya yang tular di
media sosial baru-baru ini.
Beliau
berkata tindakan tegas daripada sudut jenayah dan tatatertib akan
diambil terhadap semua yang terlibat jika didapati bersalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan