Sabtu, 13 Februari 2021

Kes Adib: Tommy Thomas tak patut seleweng fakta

fazleensafina

Buka semula kertas siasatan terhadap perusuh punca kematian Adib

GABUNGAN Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memandang penularan penulisan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berkenaan dengan rentetan insiden yang mengakibatkan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai sesuatu yang menyeleweng dan terpesong daripada fakta sebenar yang telah diputuskan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019.

Tan Sri Tommy Thomas dalam buku memoirnya ‘ My Story: Justice in the Wilderness’ telah mengatakan, antara lain, kononnya:

i. Kecederaan Muhammad Adib adalah diakibatkan pengunduran kenderaan bomba dan kenderaan yang dinaiki Adib. Adib dilihat cuba memasuki kenderaannya dan ketika itulah beliau dihimpit (“pinned down”). Maka ia tidak disengajakan.

ii. Dapatan koroner Rofiah Mohamad adalah luar biasa kerana polis telah memaklumkan Tommy Thomas bahawa kemungkinan berlaku perbuatan khianat telah diketepikan sebagai penyebab kematian Muhammad Adib.

iii. Beliau juga berasa terkejut apabila mengetahui bahawa peguam Syazlin Mansor, yang juga mewakili keluarga Muhammad Adib untuk siasatan mengenai kematiannya. Sedangkan Syazlin juga mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Oleh itu, dia menghubungi menterinya Zuraida Kamaruddin untuk meminta agar pelantikan Syazlin sebagai wakil dibatalkan.

Sedangkan, fakta dan realiti sebenar seperti yang telah diperakui dalam dapatan Mahkamah Koroner Shah Alam, termasuklah:

1) Muhammad Adib berasa di dalam kenderaan van bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di belakang jentera pemadam api;

2) Daripada keterangan dan bukti rakaman video, Muhammad Adib berada di dalam van bomba semasa van ini dan jentera pemadam api diserang oleh perusuh;

3) Van ini sedang dalam keadaan mengundur dan Muhammad Adib yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah membantu pemandu van dengan melihat ke cermin sisi. Pada ketika inilah Muhammad Adib telah ditarik ke luar van oleh perusuh;

4) Pada masa Muhammad Adib ditarik keluar, lebih daripada seorang perusuh telah menendang kuat ke arah pintu van sehingga menyebabkan tulang rusuk Muhammad Adib rosak;

5) Perusuh kemudian mencampakkan Muhammad Adib ke arah belakang van yang sedeng mengundur, yakni tepi pintu penumpang sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah di beberapa tempat;

6) Sehari atau dua sebelum kematian Muhammad Adib, beliau mampu bercakap dengan baik dan telah mengaku kepada petugas di unit rawatan rapi yang menjaganya bahawa beliau telah ditarik keluar dan dibelasah. Perkara yang serupa turut dimaklumkan kepada ketua balai tempat Muhammad Adib bertugas semasa beliau melawat Muhammad Adib pada hari tersebut.

Tiada sebab kenapa arwah Adib hendak menipu.

Selain itu, Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara juga maklum tentang pelantikan Syazlin sejak hari pertama pelantikan lagi. Beliau tidak mengambil sebarang tindakan sehinggalah tindakan Syazlin bertentangan dengan pendirian Tan Sri Tommy Thomas semasa inkues.

Penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam buku autobiografinya itu memberikan impak yang sangat menyeleweng kerana membenarkan kepalsuan berleluasa tanpa menghargai pengorbanan nyawa oleh seorang adiwira negara.

MACSA dan PPMM khuatir, kegagalan Tan Sri Tommy Thomas untuk memetik fakta sebenar akan merendah-rendahkan nilai dan harga nyawa barisan hadapan negara yang bermatian demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Malah, rentetan peristiwa yang mengakibatkan kematian Muhammad Adib adalah sejarah hitam dalam keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia.

Realitinya, Muhammad Adib terkorban ketika menjalankan tugas sebagai ahli Unit EMRS, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dalam insiden rusuhan kaum di Kuil Sri Mariamman.

Kematian beliau terpalit dengan isu perkauman apabila ada pihak yang menutup dan memesongkan fakta sebenar, sehingga timbul keperluan untuk mengadakan inkuiri menyiasat punca kematiannya. Proses ini yang berjalan dengan penuh tertib akan menjadi tidak bernilai jika Tan Sri Tommy Thomas dibenarkan untuk terus mengeluarkan kenyataan menyeleweng dalam memoirnya.

Tan Sri Tommy Thomas sebagai peguam negara sepatutnya mengetahui maklumat dari pihak polis tidak konklusif berbanding dgn penemuan fakta oleh koroner yang telah melalui proses undang undang dan dibuktikan. Adalah tidak munasabah dan tepat beliau bergantung semata-mata ke atas maklumat polis.

MACSA dan PPMM dengan itu menjemput semua pihak, termasuklah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menghormati bukan saja keputusan inkuiri yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner tetapi lebih utama lagi, pengorbanan nyawa seorang anak muda yang sehingga kini masih belum terbela.

MACSA dan PPMM juga mendesak kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap perusuh yang telah menyebabkan kematian Muhammad Adib.

Di bawah Artikel 3, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), setiap orang mempunyai hak untuk hidup dengan bebas dan selamat.

Menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk memastikan hak ini terpelihara dan jika wujud pelanggaran kepada hak ini, pihak yang melanggar hak ini harus dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa.

*Lukman Sheriff Alias*
*Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar*
Pengerusi Bersama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA)

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar*
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Tiada ulasan: