Penghantaran pertama vaksin Covid-19 dijangka tiba di Malaysia pada akhir bulan ini.
Walaupun ada orang yang tidak sabar, ada pula yang mempunyai banyak pertanyaan dan kebimbangan.
Adakah vaksin itu selamat? Adakah ia telah diuji dengan betul? Bagaimanapun, ia dihasilkan hanya dalam sembilan bulan berbanding vaksin biasa yang mungkin memerlukan masa sehingga 15 tahun untuk dibangunkan.
Bagaimana pula dengan kesan sampingan? Ada kes di mana orang pengsan selepas mendapat vaksin itu, malah ada yang dilaporkan meninggal dunia.
Ada juga orang yang membincangkan mengenai mRNA yang dikatakan mengubah gen dan diri anda serta keturunan anda seumur hidup.
Jangan takut, kata pakar virologi Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar.
Seperti mesej yang ‘hilang dengan sendiri’ dalam filem James Bond, penghantar sintetik RNA (mRNA) dalam vaksin baharu Covid-19 itu akan hilang dengan sendiri sebaik sahaja ia melakukan tugasnya dan tidak mungkin menyebabkan kemudaratan pada tubuh.
Beliau berkata mRNA rapuh dan akan terus merosot sebaik sahaja ia memasuki tubuh untuk mengarahkan sel menghasilkan protein disebut “spike protein” bagi virus SARS-CoV-2 yang menghasilkan tindak balas imun terhadap virus.
“Ia seperti kod rahsia yang musnah sendiri dalam filem James Bond,” katanya.
Selepas mRNA itu terhapus dengan sendiri, ia tidak boleh mengarahkan sel berkenaan untuk menghasilkan “spike protein” virus lagi dan tanpa arahan, tubuh berhenti menghasilkan protein itu untuk menghasilkan tindak balas imun.
“Namun, sistem imun tubuh mempunyai memori ‘spike protein’ dan bersedia melawan virus SARS-CoV-2 jika ia masuk ke dalam tubuh,” katanya.
Menurut laman web Pfizer, mRNA dalam vaksin Pfizer-BioNTech AS-Jerman akan mengarahkan sel menghasilkan “spike protein” untuk menghasilkan tindak balas imun.
Tindak balas imun itu kemudian akan menghasilkan antibodi khusus untuk “spike protein” SARS-CoV-2.
“Tidak, anda tidak akan berubah menjadi raksasa Frankenstein,” kata Sazaly yang menganggap ketakutan warganet sesuatu yang melucukan.
“Apabila ‘spike protein’ (awal) dihasilkan, ia bertahan daripada beberapa minit hingga beberapa jam dan kemudian diserap oleh antigen tubuh yang menghasilkan sel yang ‘memakan’ bahan asing,” katanya, selain menambah bahawa “spike protein” hanya komponen kecil virus SARS-CoV-2, sama seperti jari di badan manusia.
Mengenai kepantasan pembangunan vaksin, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat berkata, teknologi mRNA telah dikaji selama beberapa dekad sebelum digunakan untuk pengeluaran vaksin Covid-19.
“Vaksin mRNA tdikaji sebelum ini untuk selesema, Zika, rabies, dan sitomegalovirus (CMV). Sebaik sahaja maklumat diperlukan mengenai virus yang menyebabkan Covid-19 tersedia, saintis mula membina arahan mRNA untuk sel membangunkan ‘spike protein’ yang unik menjadi vaksin mRNA,” kata CDC.
Teknologi masa depan vaksin mRNA mungkin membolehkan satu vaksin memberi perlindungan kepada pelbagai penyakit, sehingga menurunkan jumlah suntikan yang diperlukan untuk perlindungan terhadap penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin.
Malah ia boleh digunakan untuk mencegah atau merawat kanser.
Sazaly juga berkata sesetengah orang mungkin juga bimbang tentang vaksin hidup yang digunakan, tetapi vaksin mRNA bukan vaksin hidup dan tidak menggunakan elemen berjangkit.
Justeru, ia tidak berisiko menyebabkan penyakit pada orang yang divaksin.
mRNA juga tidak akan masuk ke dalam nukleus sel (DNA) untuk mengubah gen, tetapi akan tetap berada di sitoplasma, iaitu satu larutan tebal yang memenuhi setiap sel dan ditutup oleh membran sel.
Kepantasan pembangunan vaksin juga tidak mengejutkan. AS mengumumkan “Operation Warp Speed” pada 15 Mei tahun lalu agar produk perubatan dapat dikembangkan dengan cepat kerana ramai rakyatnya mati akibat penyakit itu.
Setakat ini, hampir 500,000 rakyat AS meninggal dunia akibat Covid-19.
Sejumlah besar dana diagihkan ke dalam penyelidikan oleh kerajaan dan sektor swasta AS. Ia tidak seperti kebiasaan yang perlu menunggu geran, prasarana dan sukarelawan.
Kerajaan, agensi kesihatan awam, pertubuhan antarabangsa dan sektor swasta semuanya berganding bahu.
Sekiranya masih ada persoalan, maka ia mungkin berkait syarat lanjutan dua bulan dalam Fasa 3 percubaan dan pemantauan berterusan yang dikenakan terhadap semua ujian klinikal vaksin dan ubat.
“Keadaan yang dibimbangi saintis adalah kes akut – kes yang berlaku segera selepas vaksinasi – dalam beberapa minit atau beberapa jam.
“Setakat ini, profil keselamatan dilihat bagus dan risikonya tidak berbeza dengan risiko vaksinasi yang lain.
“Walaupun begitu, kesan jangka panjang vaksin sedang dipantau. Sekiranya ada perkara yang luar biasa, ia akan dilaporkan,” katanya.
Penantian untuk kesan jangka panjang adalah ideal tetapi kita tidak hidup di dunia yang ideal.
Tekanan agar vaksin dikeluarkan dengan cepat sangat besar, terutama di AS, UK dan Eropah di mana ratusan ribu orang mati.
“Kita perlu mengimbangi risiko dan manfaat, dengan keadan yang terjadi di sekitar kita dan data keselamatan dan keberkesanan yang ada,” kata profesor kesihatan awam Dr Lokman Hakim Sulaiman.
Oleh kerana keperluan segera, semua vaksin Covid-19 kini didaftarkan di bawah “penggunaan kecemasan.”
“Pendaftaran penuh hanya dapat diberikan selepas data keberkesanan jangka panjang tersedia, tetapi bolehkah kita menunggu dua tahun lagi?” soalnya.
Percubaan klinikal vaksin Pfizer-BioNTech Fasa III yang melibatkan 43,661 sukarelawan sudah selesai di AS, dengan keputusan interim menunjukkan keberkesanan 95% untuk mencegah gejala Covid-19.
Sekiranya ada jaminan, pengesan vaksin Covid-19 oleh Bloomberg mendedahkan pada 10 Feb, sebanyak 138 juta dos vaksin Covid-19 diberikan di 73 negara; 44.4 juta dos di AS sahaja.
Setakat ini, ia sangat bagus. Terdapat kesan sampingan, tetapi jumlahnya sedikit.
Laman web CDC berkata kesan sampingan dalam tujuh hari vaksinasi Pfizer-BioNTech adalah demam, menggigil, letih, dan sakit kepala, terutama selepas dos kedua. Kebanyakannya (simptom) bersifat ringan hingga sederhana.
Ya, terdapat kebimbangan mengenai kesan sampingan yang lebih serius, tetapi ini jarang berlaku.
Antara kejadian buruk yang jarang berlaku termasuklah anafilaksis, reaksi alergi yang teruk, dalam kes vaksin Pfizer-BioNTech.
Bell’s palsy, keadaan yang menyebabkan lumpuh pada sebahagian wajah, dilaporkan daripada 30,000 peserta percubaan vaksin Moderna (tiga daripada kumpulan vaksin itu, dan satu daripada plasebo) dan empat lagi daripada 43,000 peserta Pfizer (semuanya daripada kumpulan vaksin).
Ini tidak cukup untuk mengaitkan vaksin kepada penyakit itu secara langsung, tetapi vaksin terbabit perlu dipantau untuk kemungkinan reaksi tersebut.
Di Norway, 33 orang dilaporkan mati selepas divaksinasi, mereka berusia lebih 75 tahun. Oleh itu, vaksin mungkin tidak disarankan kepada mereka yang sangat tua dan lemah.
Terdapat satu lagi ketakutan – peningkatan antibodi-ubat (ADE). Ini adalah ketika antibodi lain muncul, selain antibodi Covid-19 selepas vaksinasi.
Antibodi baharu ini tidak melindungi daripada virus, tetapi berpotensi memburukkan lagi jangkitan Covid-19 pada masa depan.
Namun setakat ini, daripada berjuta-juta orang yang mengambil vaksin, hanya terdapat isu-isu kecil.
Dengan data yang meyakinkan itu, dan lebih banyak vaksin terus diterima masuk, kita mungkin dalam perjalanan menuju pemulihan.
Sementara itu, raksasa Frankenstein akan terus menjadi watak dalam filem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan