Rabu, 3 Februari 2021

Jadi ‘warganegara’ digital dalam norma baharu, kata Salleh

 
Salleh Said Keruak meminta supaya kadar penggunaan dalam talian khususnya perbankan 
dipertingkatkan kerana setakat ini hanya separuh daripada 28.7 juta pelayar internet di 
Malaysia menggunakan perkhidmatan dalam talian.

PETALING JAYA: Penglibatan masyarakat dalam teknologi digital perlu dipertingkatkan seiring dengan norma baharu, yang mana terdapat keperluan untuk komunikasi dilakukan secara dalam talian, kata bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak di blognya.

“Teknologi digital juga membolehkan orang ramai berkomunikasi antara satu sama lain terutama keluarga serta rakan secara berkala, lebih-lebih lagi selepas PKP dilanjutkan lagi dua minggu. Kita tidak dibenarkan merentas negeri bagi memastikan wabak Covid-19 tidak menular,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan.

Beliau berkata, penglibatan dalam teknologi digital membolehkan rakyat menjalankan pelbagai bentuk komunikasi antaranya perniagaan dalam talian, pembelajaran melalui aplikasi Google Meet, Zoom selain urusan kerajaan melalui laman web rasmi.

“Jika dahulu, kita kurang pandang serius mengenai kebaikan dan kelebihannya. Maka inilah masanya segala manfaat mudah didapati hanya di hujung jari.

Memandangkan situasi pandemik yang semakin meruncing dengan PKP dilanjutkan, Salleh berkata menjadi “warganegara” digital adalah satu penyelesaian yang menjimatkan masa masyarakat dalam menguruskan urusan penting tanpa perlu berada di tempat sesak dengan orang ramai.

“Kita tidak perlu bersesak untuk ke pasar raya, pusat membeli-belah mahupun beratur untuk membuat pembayaran bil. Dalam keadaan kes Covid-19 yang tidak menentu, pengurusan transaksi dan komunikasi ‘online’ adalah langkah yang tepat dan bijak,” katanya.

Pada masa sama, Salleh meminta supaya kadar penggunaan dalam talian khususnya perbankan dipertingkatkan kerana setakat ini hanya separuh daripada 28.7 juta pelayar internet di Malaysia menggunakan perkhidmatan dalam talian.

“Statistik 2018 di laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan pengguna internet Malaysia ialah 28.7 juta orang atau 87.4%. Hanya separuh menggunakan perbankan dalam talian (54.2%),” katanya.

Tiada ulasan: